Trofi TSM Golf Challenge ke-13 jadi rebutan 81 bakat muda golf negara


  • Podium
  • Sabtu, 17 Jun 2023

Edisi ke-12 menyaksikan Adam Arif Madzri dan Zulaikah Nurziana bergelar juara bagi kategori masing-masing.

CABARAN Golf Tan Sri Muhyiddin anjuran Yayasan TSM Charity Golf (TSMCG) kembali lagi untuk edisi ke-13, kali ini menampilkan saingan sengit 48 remaja lelaki dan 33 remaja perempuan.

Kejohanan yang dijadualkan berlangsung pada 19-22 Jun ini di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC), East Course di Kuala Lumpur akan menyaksikan sedikit kelainan apabila hadiah kategori perempuan dinaikkan setaraf dengan hadiah kategori lelaki.

Menurut kenyataan sekretariat, selain trofi, juara kedua-dua kategori masing-masing juga akan menerima biasiswa Tan Sri muhyiddin Yassin Charity Golf (TSMCG) bernilai RM30,000, ke arah meningkatkan lagi kemahiran mereka dalam sukan golf.

"Terdapat dua kategori untuk kejohanan ini iaitu Lelaki (Bawah 21) - kategori MGA WHS Handicap Index 8.3 dan ke bawah, dan Perempuan (Bawah 21) - kategori MGA WHS Handicap Index 10.3 dan ke bawah, dengan bentuk permainan ‘Stroke Play’,” menurut kenyataan itu.

Kejohanan amatur yang dibiayai sepenuhnya oleh TSMCG ini bukan sahaja memberi peluang kepada pemain-pemain muda mempamerkan kemahiran mereka, tetapi ia juga boleh diklasifikasikan sebagai laluan terbaik untuk mereka mengejar impian menjadi seorang pemain golf profesional yang berjaya.

Sebagai rekod, TSMCG umpama 'kilang' dalam sukan golf apabila melahirkan ramai atlet golf yang mengharumkan nama negara.

Tahun lalu, K Rhaasrikanesh antara atlet golf negara yang menamatkan kemarau pingat sukan itu di Sukan SEA Hanoi, Vietnam.

Rhaasrikanesh atau juga dikenali sebagai Rush menjadi contoh terbaik sebagai pemain yang dicungkil bakatnya menerusi penganjuran pertandingan berprestij tinggi yang diadakan di negara ini menerusi salah satu program pembangunan bagi membantunya untuk terus cemerlang dalam sukan golf.

Pemain berusia 21 tahun itu antara 'produk' yang dihasilkan menerusi penganjuran TSM Golf Challenge anjuran TSMCG selepas kali pertama diperkenalkan pada 2006. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

golf, TSM, TSMCG, trofi, Yayasan TSM Charity Golf