'Double M' bermula garang pusingan pertama TSMCG edisi ke-13


  • Podium
  • Selasa, 20 Jun 2023

Aksi salah seorang peserta kejohanan TSMCG ke-13 di KLGCC pada Selasa.

KEJOHANAN Tan Sri Muhyiddin Charity Golf (TSMCG) edisi ke-13 yang bermula pada Selasa berlangsung sengit pada pusingan hari pertama dengan menyaksikan dua bakat muda negara, Marcus Lim dan Mirable Ting mendahului carta bagi kategori masing-masing.

Marcus dan Mirable yang merupakan pemain golf remaja Persatuan Golf Malaysia (MGA), masing-masing mencatatkan keputusan -2 dan -4 pada kejohanan yang berlangsung selama tiga hari di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC).

Marcus mencatat 69 pukulan dua di bawah par untuk muncul selaku pendahulu hari pertama kejohanan, meninggalkan Malcom Ting Siong Hung yang mengikuti rapat di tempat kedua dengan catatan 70 pukulan satu di bawah par.

Berada di tangga ketiga ialah Rizq Adam Rohizam dengan 71 pukulan par golf, manakala dua pemain iaitu Muhammad Fakhrul Aiman dan Muhammad Ajmal Amin Mohd. Fajri berkongsi kedudukan di tangga keempat selepas masing-masing merekod 72 pukulan satu di atas par.

Bagi kategori wanita, Mirable Ting mendahului tangga teratas dengan selesa selepas menamatkan permainan hari pertama dengan catatan 67 pukulan empat di bawah par.

Pemain kelahiran Sarawak ini yang pernah memenangi beberapa siri kejohanan amatur meninggalkan Ng Jing Xuen di tangga kedua dan Charlayne Chong Shin di tempat ketiga.

Ng Jing mencatat 71 pukulan satu di atas par, manakala Charlayne merekod 73 pukulan dua di atas par.

Cabaran TSMCG kali ini menyaksikan 81 pemain berbakat tanah air terdiri daripada 48 remaja lelaki dan 33 remaja perempuan untuk merebut gelaran juara.

Kejohanan yang dijadualkan berlangsung pada 19-22 Jun ini akan menyaksikan sedikit kelainan apabila hadiah kategori perempuan dinaikkan setaraf dengan hadiah kategori lelaki. — Majoriti

Keputusan Pusingan Pertama TSMCG

LELAKI

Marcus Lim (69) -2

Malcom Ting Siong Hung (70) -1

Rizq Adam Rohizam (71) Par

Muhammad Fakhrul Aiman (72) +1

Muhammad Ajmal Amin Mohd Fajri (72) +1

Akmal Aiman Mohd. Fauzi (74) +3

Austin Gan Zi Ming (74) +3

Isaac Chern Yi To (75) +4

Nateeshvar Anatha Ganesh (75) +4

Syed Nor Ismail Sha Husse (75) +4

WANITA

Mirable Ting (67) -4

Ng Jing Xuen (72) +1

Charlayne Chong Shin (73) +2

Vanessa Chong Yi Wen (77) +6

Sohniya Chandra Mohan (77) +6

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

golf, TSM, TSMCG, trofi, Yayasan TSM Charity Golf