Zi Yu mahu cipta kejutan Golf Terbuka Amatur Wanita Malaysia


  • Podium
  • Selasa, 11 Jul 2023

Seramai 100 pemain dari dalam dan luar negara akan berentap dalam Kejohanan Golf Terbuka Amatur Wanita Malaysia. — Agensi

PEMENANG pingat gangsa Sukan SEA Kemboja Foong Zi Yu, optimis mampu mencipta kejutan dalam penampilan terakhirnya di Kejohanan Golf Terbuka Amatur Wanita Malaysia, yang akan berlangsung di Templer Park Country Club, pada 25 hingga 27 Julai ini.

Atlet berusia 18 tahun itu, berazam menggunakan baki masa yang tinggal untuk menyesuaikan diri dengan lapangan Templer Park, bagi memastikannya dapat meraih kejayaan sebelum menyambung pelajaran di Universiti Lipscomb, Amerika Syarikat pada Ogos ini.

"Ia kejohanan terakhir saya sebelum saya sambung belajar di universiti dan saya akan bekerja keras. Saya berharap untuk mendapat keputusan yang baik sebelum memulakan fasa baharu bulan hadapan. Lagi pun ini kejohanan amatur terakhir saya di Malaysia.

"Saya pernah bermain di lapangan Templer Park sebelum ini, tetapi ia agak sukar, jadi saya akan gunakan masa yang ada untuk biasakan diri dengannya. Saya berharap pada hari kejohanan, semuanya berjalan dengan baik,” katanya.

110723_MALGA_PC_MLAO_TPCC_TD_ATD_9941

Barisan bakat tempatan yang akan mencipta kejutan pada kejohanan golf Terbuka Amatur Wanita Malaysia. — Agensi

Selain Zi Yu, beberapa lagi pemain golf wanita Malaysia akan mengambil bahagian dalam kategori terbuka kejohanan itu termasuk pemenang golf Tan Sri Muhyiddin Yassin (TSM) baru-baru ini Mirabel Ting, yang juga merupakan pemain golf wanita kedua negara serta pemenang pingat emas Sukan SEA Kemboja Ng Jing Xuen.

Presiden Persatuan golf Wanita Malaysia Tunku Puteri Datuk Seri Jawahir Tuanku Ja'afar pula memaklumkan, kejohanan yang mempertandingkan tiga kategori iaitu terbuka, amatur pertengahan dan divisyen senior itu, dijangka akan menarik kira-kira 90 penyertaan termasuk dari luar negara.

Foong Zi Yu

Zi Yu mahu mencipta kejutan pada kejohanan kali ini.

Beliau berkata beberapa pemain terkemuka dari negara Singapura, Thailand, Filipina, Taiwan, Vietnam dan Hong Kong, telah mengesahkan diri untuk bertanding dalam kategori terbuka.

"Pemenang terakhir dari Malaysia untuk kategori terbuka ialah Nur Durriyah Damian pada 2016. Kita berharap untuk melihat juara dalam kalangan atlet Malaysia pada 2023,” katanya.

Edisi 2019 menyaksikan Sarunchana Rattanasin dari Thailand memenangi gelaran kejohanan itu. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram