RSGC jadi medan terbaik uji, cungkil bakat muda golf negara


  • Podium
  • Jumaat, 12 Mei 2023

Ezani (tengah) bergambar bersama trofi yang akan menjadi rebutan pemain golf junior terbaik di rantau ini.

PROGRAM pembangunan bakat muda dalam dunia golf negara mencapai prestij yang lebih tinggi dengan penglibatan kelab golf paling bersejarah dan tertua, The Royal Selangor Golf Club (RSGC).

Ini kerana buat julung kalinya, RSGC akan berkolaborasi dengan Yayasan Kecemerlangan Sukan Malaysia (SportExcel) untuk menganjurkan Kejohanan Golf Jemputan Remaja RSGC-SportExcel Ke-8 2023 pada Jun ini.

Kolobarasi ini dilaksanakan tepat pada waktunya selepas skuad Malaysia di Sukan SEA melakar sejarah tersendiri susulan kejayaan atlet muda golf merangkul pingat emas acara individu wanita yang berlangsung di Kelab golf Garden City baru-baru ini.

Dalam kejohanan serantau itu, Ng Jing Xuen yang baru berusia 15 tahun itu mengetepikan cabaran juara bertahan kejohanan golf Amatur Asia Pasifik Eila Galitsky dari Thailand yang meraih perak sementara seorang lagi atlet negara Foong Zi Yu membawa pulang gangsa.

Bagi meneruskan misi melahirkan lebih banyak bakat muda dalam acara golf, kejohanan RSGC-SportExcel yang akan diadakan bermula dari 7 hingga 9 Jun 2023 dijangka disertai 90 pemain junior amatur dari dalam dan luar negara.

Pertandingan ini telah beralih daripada acara terbuka kepada acara jemputan supaya pemain elit remaja berpeluang bermain dan cemerlang di kelab golf premier yang bersejarah dan tertua di Malaysia itu.

RSGC

Pengerusi Jawatankuasa Golf RSGC dan Pengerusi Penganjur Kejohanan Golf Jemputan Remaja RSGC- SportExcel Ke-8 2023, Ezani Datuk Abu Bakar berkata, antara pemain dari luar negara yang dijangka menyertai kejohanan itu termasuk dari Thailand, Vietnam, Indonesia dan Singapura seperti edisi sebelum ini.

Jelasnya, penyertaan kali ini akan melibatkan jemputan dalam kalangan pemain elit amatur termasuk daripada SportExcel, juara negeri dan kelab, dan pemain terbaik.

"Kejohanan kali ini akan menyaksikan dua kategori utama iaitu Bawah 18 Tahun dan Bawah 14 tahun bagi lelaki dan perempuan. Jumlah keseluruhan penyertaan yang disasarkan adalah 60 lelaki dan 30 perempuan.

“Kami amat berbesar hati untuk sekali lagi mengalu-alukan rakan-rakan dari seluruh Malaysia dan di seluruh rantau ini untuk satu lagi edisi Kejohanan Golf Jemputan Remaja RSGC-SportExcel 2023.

"Ini adalah tahun ke-8 kejohanan tahunan ini dianjurkan dan ia merupakan acara yang istimewa bagi kami, kerana ia akan menjadi kerjasama pertama kami dengan SportExcel sebuah badan rasmi yang menyokong dan mempromosikan sukan golf remaja di Malaysia,” katanya pada sidang media kejohanan itu baru-baru ini.

default

RSGC akan menjadi medan untuk menguji kemampuan bakat muda golf negara ke tahap yang lebih tinggi.

Kejohanan tahunan selama tiga hari itu dijangka menarik pemain-pemain muda yang paling berbakat dalam sukan ini dari dalam negara dan rantau Asia Tenggara, kebanyakannya diiktiraf dalam Kedudukan Sistem Carta Golf Amatur Dunia (WAGR).

WAGR menyenaraikan pemain golf amatur teratas di seluruh dunia berdasarkan prestasi purata mereka dalam ‘Counting Events’ di mana kejohanan ini disenaraikan.

Mengulas lanjut kelebihan kejohanan itu pada tahun ini, Ezani berkata, selain memenangi hadiah wang tunai, pemenang bagi setiap kategori itu akan berpeluang untuk menyertai Kejohanan Golf ASEAN yang berkemungkinan diadakan di Thailand atau Indonesia pada tahun ini.

"Dalam kejohanan in juga, peserta berpeluang dinilai oleh ejen golf dari Amerika Syarikat (AS) yang berkolaborasi dengan kita untuk menerima biasiswa menyambung pengajian di luar negara dalam bidang akademik dan golf.

"Terdapat dua pusat pengajian iaitu Universiti Arizona dan Universiti Georgia yang menawarkan biasiswa tersebut," katanya.

Pemain golf remaja yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kejohanan ini boleh melayari http://jao.thersgc.com/ dan penyertaan ditutup pada hari Rabu, 17 Mei 2023. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram