INDUSTRI bola sepak di Malaysia boleh dikatakan pekerjaan yang mampu menjadikan seorang individu sebagai pemain terkaya dalam usia yang muda.
Setiap pemain mempunyai tag harga yang tinggi yang mana mereka dinilai berdasarkan kualiti serta pengalaman yang dimiliki.
Namun, status sebagai pemain profesional dan kelab juga boleh meningkatkan nilai seseorang pemain di pasaran tanpa mengira umurnya.
Berdasarkan data laman Transfermrkt, berikut merupakan 5 pemain berusia bawah 25 tahun tempatan yang memiliki harga termahal dalam saingan Liga Super:
Safawi masih merupakan antara pemain muda termahal Liga Super — FAM
1. Safawi Rashid (JDT)
Muhammad Safawi Rasid ialah seorang pemain bola sepak profesional Malaysia yang kini bermain sebagai pemain sayap untuk kelab Johor Darul Takzim FC (JDT) dan pasukan kebangsaan.
Terkenal dengan kemampuan sepakan bola percuma melencong terus menerjah gawang gol, berdasarkan nilai pasaran semasa Safawi pada ketika ini bernilai mencecah 300,000 Euro (RM1.3 juta).
Pemain kelahiran Dungun, Terengganu ini membuat kemunculan sulung untuk penampilan antarabangsa bersama skuad Bawah-22 Tahun B-22) negara dalam Piala Negara-Negara 2016.
Safawi kemudiannya memperkukuhkan karier dalam bola sepak bersama pasukan Terengganu FC (TFC) II dan pada 2017, JDT telah menandatangani pemain ini seterusnya menjadi pemain skuad utama Harimau Selatan sehingga saat ini.
Safawi bukanlah penjaring utama di JDT namun dia banyak menjaringkan gol penting yang membantu pasukan.
Pemain berusia 25 tahun ini juga pernah menyertai Portimonense SC secara pinjaman pada 2020 selama semusim dan kembali semula menyertai JDT.
Sepanjang musim Liga Super musim ini, Safawi telah bermain sebanyak lapan permainan bersama skuad Harimau Selatan dan menjaringkan dua gol.
Arif Aiman merupakan pemain paling muda dalam Liga Super — Agensi
2. Arif Aiman (JDT)
Arif Aiman Mohd Hanapi merupakan pemain muda yang dilihat mempunyai prospek yang cerah dalam dunia sukan bola sepak tanah air.
Walaupun baru berumur 20 tahun, nilai pasaran semasa Arif pada ketika ini mencecah 300,000 Euro (RM1.3 juta), sama seperti Safawi.
Arif membuat debut bersama skuad Harimau Selatan pada Mac 2020, sekali gus menjadikan Arif pemain termuda di kelab tersebut.
'Ubi muda' ini juga dipilih sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP), Penyerang Terbaik dan Pemain Muda Terbaik pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2021 (ABK2021).
Aksi sulungnya bersama skuad senior JDT ketika menentang Felda United di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.
Faisal semakin menemui sentuhan penyudah ketika bersama TFC musim ini — Facebook/Terengganu FC
3. Faisal Halim (Terengganu FC)
Penyerang Terengganu FC (TFC), Muhammad Faisal Abdul Halim semakin menemui sentuhan penyudah terutamanya ketika menyarung jersi skuad Harimau Malaya.
Nilai pasaran anak kelahiran Pulau Pinang yang baru berusia 24 tahun itu pada ketika ini dianggarkan mencecah 250,000 Euro (RM1.1 Juta).
Faisal yang memulakan kariernya sebagai pemain skuad Belia Pulau Pinang dan kemudian diserap ke pasukan Piala Presiden.
Pada 2016, dia berhijrah ke Pahang FC dan selepas lima musim, Faisal akhirnya memilih untuk menyertai TFC sehingga sekarang.
Faisal juga pernah dipanggil beraksi bersama skuad B-20 dan B-23 negara.
Azam Azmi merupakan salah seorang bintang skuad B-23 negara — Facebook/TFC
4. Azam Azmi Murad (Terengganu FC)
Pemain muda sedang meningkat usia, Muhammad Azam Azmi Murad ialah pemain bola sepak profesional yang mengisi slot bek kanan TFC.
Pemain berusia 21 tahun ini juga merupakan salah seorang bintang skuad B-23 negara.
Dilahirkan di Pulau Pinang, nilai pasaran Azam Azmi dianggarkan mencecah 175, 000 Euro (RM796,230).
Akhyar masih mendapat tempat dalam skuad Harimau Malaya meskipun kurang diturunkan JDT — Facebook/JohorSouthernTigers
5. Akhyar Rashid (JDT)
Meskipun kurang mendapat tempat dalam kesebelasan utama JDT, Muhammad Akhyar Abdul Rashid masih dianggap sebagai antara prospek muda bernilai skuad Harimau Malaya.
Baru mencecah usia 23 tahun, pada ketika ini pasaran pemain muda yang pernah diberi jolokan nama Neymar Kedah itu dianggarkan mencecah 150,000 Euro (RM683,369).
Sebelum menyertai skuad Harimau Selatan, Akhyar beraksi bersama Kedah Darul Aman FC dan beliau juga pernah dihantar oleh skuad Sang Kenari untuk berlatih di Cardiff City seawal usia 15 tahun.
Akhyar juga merupakan adik Rafdi Rashid, penyerang legenda Kedah era lewat 1990-an. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram