Selepas 5 minggu, Balachandran akui formula Sarawak FC semakin menjadi


  • Podium
  • Isnin, 01 Ogos 2022

Kemenangan Sarawak FC menentang Penang FC pada Ahad menunjukkan taktikal menyerang yang digunakan berjaya. — Facebook MFL

KEMENANGAN skuad Ngap Sayot menentang Penang FC pada Ahad dilihat sebagai satu kebangkitan pada pasukan tersebut.

Beraksi di padang lawan, skuad kendalian S. Balachandran berjaya menundukkan tuan rumah dengan kemenangan 3-2 di Stadium Bandaraya pada perlawanan Liga Super itu.

Berpuas hati dengan pencapaian pasukannya, Balachandran berkata, pretasi yang ditunjukkan pemain pasukan Sarawak menunjukkan mereka sudah mula serasi dengan taktikal yang diajari.

"Selepas 5 minggu menggalas tugas sebagai jurulatih, banyak perubahan pada pemain.

"Pemain pun dah mula faham dengan susunan strategi dan corak permainan.

"Mereka cepat menyesuaikan diri dengan perancangan berkenaan dan kini ia mula dipraktikan dengan baik,"

"Kredit harus diberikan kepada semua pemain kerana mereka rajin serta cepat menyesuaikan diri dengan latihan yang berlainan," katanya pada Majoriti.

296666112_7741095349296236_5678118969441117321_n

Sarawak FC bangkit walaupun kalah dua kali pada perlawanan sebelum ini dan akhirnya meraih kemenangan di gelanggang lawan — Facebook

Pada masa sama, beliau turut melahirkan rasa bangga dengan prestasi anak buahnya yang pantas mempelajari perubahan corak permainan baru sekali gus membawa kemengan melawan skuah Harimau Kumbang.

"Kalau lihat, kita kalah dua perlawanan menentang Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dan Johor Darul Takzim FC (JDT).

"Sebelum ini saya lebih banyak mengajar dan menekankan pertahanan kerana kita bertemu dengan pasukan yang kuat.

"Tapi untuk perlawanan malam tadi (Ahad) saya rasa pasukan bermain dengan baik.

"Pemain dilihat banyak menggunakan taktikal menyerang.

"Mereka bangkit walaupun kalah dua kali pada perlawanan sebelum ini dan akhirnya meraih kemenangan di gelanggang lawan sekali gus meraih tiga mata penuh," katanya.

Balachandran telah dilantik menjadi ketua jurulatih Sarawak FC selepas B. Sathianathan mengundurkan diri atas faktor kesihatan di mana beliau memerlukan pemerhatian khusus dan rawatan susulan daripada pakar.

Sebelum ini, beliau pernah menjadi penolong jurulatih skuad Harimau Malaya bermula pada tahun 2018 dan melepaskan jawatan 2022 selepas Piala AFF2020. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram