Data 'cleansheet' tak menipu, Farizal masih antara 3 penjaga gol terbaik domestik


  • Podium
  • Sabtu, 30 Jul 2022

Farizal masih kekal sebagai antara penjaga gol terbaik negara. — Facebook/Johor Southern Tigers

PENJAGA gol adalah posisi penting dan mencabar memandangkan ia adalah benteng pertahanan terakhir untuk sesebuah pasukan.

Sebagai penjaga gawang, tugas mereka adalah untuk memastikan kawasan itu tidak dibolosi oleh lawan.

Selain mengharapkan kepada penyerang, penjaga gol yang mengawal benteng pertahanan terakhir mampu menjadi penentu segalanya.

Ia dibuktikan dengan jumlah clean sheet atau rekod bersih tanpa bolos sekali gus membantu mana-mana kelab mencabar kejuaraan liga.

Berikut merupakan tiga penjaga gol dengan rekod clean sheet terbanyak dalam saingan Liga Super bagi musim ini.

1. Farizal Marlias (JDT) - 7

Walaupun sudah melewati usia 30 tahun, prestasi Farizal Marlias masih lagi dianggap berbisa dalam kalangan peminat bola sepak tanah air.

Selepas 12 perlawanan, penjaga gawang Johor Darul Takzim (JDT) ini masih mengekalkan kedudukannya sebagai penjaga gol dengan paling banyak cleansheet musim ini dalam saingan Liga Super musim ini.

Pernah mengalami kecederaan di kepala pada aksi menentang Terengganu FC pada April lalu, namun ia tidak mematahkan semangat Farizal untuk terus beraksi bersama skuad Harimau Selatan.

Membuat penampilan ke-200 sejak menyarung jersi Harimau Selatan pada 2015 ketika menentang Sarawak tempoh hari, sekali gus menjadikan Farizal pemain kedua selepas Safiq Rahim yang mempunyai lebih 200 penampilan dengan JDT.

Penjaga gol JDT ini juga pernah beraksi dengan Shahzan Muda FC, Perlis FA, Selangor FC, Perak dan Negeri Sembilan sepanjang kariernya.

Cuma pada masa sama, ramai juga peminat yang beranggapan jumlah cleansheet yang dilakukan Farizal sedikit sebanyak dipengaruhi oleh kekebalan benteng pertahanan JDT.

2. Syihan Hazmi (NSFC) - 5

Syihan Hazmi

Syihan Hazmi beraksi dalam 13 perlawanan setakat ini dan berjaya mengawal gawang tanpa dibolosi sebanyak empat kali — Facebook

Penjaga gawang Negeri Sembilan FC, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed merupakan contoh terbaik dalam kalangan peminat apabila berjaya mengekalkan rekod cleansheet sebanyak lima kali dalam aksi di pentas domestik.

Tidak hairanlah, namanya disebut-sebut sebagai calon terbaik sebagai penjaga gol Harimau Malaya pada kempen kelayakan Piala Asia sebelum ini di sebalik prestasi kurang konsisten Farizal bersama skuad kebangsaan.

Walaupun baru berusia 26 tahun, namun Syihan memiliki rekod yang cemerlang bersama skuad Hobin Jang Hobin.

Pemain muda itu beraksi dalam 13 perlawanan setakat ini dan berjaya mengawal gawang tanpa dibolosi sebanyak lima kali untuk berada di belakang Farizal.

Walaupun pernah terpalit kontroversi kerana gagal ujian doping semasa menyertai Piala Asia B-23 AFC pada 2018 di China, Syihan kembali daripada penggantungan dua tahun kemudian dengan menandatangani kontrak bersama Petaling Jaya City F.C.

Cuma disebabkan kekurangan masa bermain, beliau meninggalkan kelab itu dan kembali ke NSFC.

3. Khairul Fahmi (Sabah FC) - 4

Khairul Fahmi Che Mat pernah menyandang title penjaga gol terbaik Liga Malaysia selama empat tahun berturut-turut.— Facebook

Jika melihat rekod Khairul Fahmi Che Mat, dia mula terkenal apabila cemerlang mengawal gawang Malaysia dalam Piala AFF 2010.

Musim ini, Khairul Fahmi beraksi dalam 13 perlawanan setakat ini dan berjaya mengawal gawang tanpa dibolosi sebanyak empat kali.

Khairul Fahmi juga pernah menyandang gelaran sebagai penjaga gol terbaik Liga Malaysia selama empat tahun berturut-turut.

Title tersebut dipegang pemain yang terkenal dengan jolokan nama Apek itu ketika bersama Kelantan FC dari 2010 hingga 2013.

Dia yang mempunyai nilai pasaran RM689,190 juga pernah merampas semula gelaran itu daripada Farizal pada 2016. —Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram