'Abam Wira' tunjuk parang, netizen geram samseng jalan raya tak fikir panjang


  • Tular
  • Jumaat, 29 Jul 2022

Tangkap layar kejadian seorang lelaki menunjukkan senjata pada pengguna jalan raya yang lain. — Facebook

KES buli di jalan raya tidak pernah kehabisan, semakin hari kian menjadi-jadi sehingga mengundang pergaduhan.

Kebanyakkan kes buli di jalan raya ini juga melibatkan senjata yang disimpan dalam kereta pembuli dan sering kali digunakan untuk menakut-nakutkan orang awam.

Terbaru, tular satu video yang dimuat naik menerusi halaman Facebook Sarawak Roads Update itu menunjukkan seorang lelaki membuli pengguna jalanraya lain.

"Peringatan. Membawa senjata di dalam kenderaan adalah satu kesalahan.

"Apatah lagi mengancam untuk mencederakan orang lain. Itu adalah satu jenayah," tulisnya.

Dalam video tersebut menunjukkan samseng jalan raya yang memandu Proton Wira Aeroback membuka pintu di bahagian pemandu dan menunjukkan senjata seakan-akan parang pada pemandu Toyota Altis di belakangnya.

Kejadian itu berjaya dirakam dengan menggunakan kamera papan pemuka (dashcam) kenderaan lain.

Kejadian tersebut dikatakan berlaku di Kuching, Sarawak.

Video berdurasi 52 saat itu telah mendapat 39,000 tontonan dan rata-rata warganet mengecam tindakan pembuli tersebut.

"Macam-macam perangai manusia. Tidak terfikir ke kalau kena tangkap oleh pihak berkuasa nanti?

"Apa hukuman yang menanti kita? Menggunakan senjata tajam untuk mengancam orang lain. Fikirlah anak isteri di rumah dan orang tersayang," kata Limbai Nyaod Tumog.

"Samseng jalan raya ini mesti dah biasa buat kerja mencuri rumah orang. Bawa parang panjang dalam kereta untuk apa? tulis Louis Ala.

"Sebenarnya dia nak bagitahu semua orang dia bawa parang. Nak tunjuk dia samseng," kata Headhunter Headhunter.

Individu yang memiliki, membawa atau menyimpan senjata walaupun hanya sebilah pisau kecil tanpa sebab sah dan alasan munasabah termasuk alasan untuk melindungi diri, boleh didakwa di bawah Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958, yang boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan boleh juga disebat, jika didapati bersalah.

Belum ada sebarang kenyataan rasmi pihak berkuasa berhubung insiden tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram