Dah macam Sungai Rajang, hospital, Wisma Persekutuan di JB dilanda banjir kilat


  • Tular
  • Selasa, 02 Ogos 2022

Tangkap layar menunjukkan keadaan banjir kilat di beberapa kawasan di Johor Bahru pada Selasa.

BEBERAPA kawasan di Johor Bahru, Johor dilanda banjir kilat dalam kejadian pada Selasa.

Menerusi rakaman video tular, kelihatan sejumlah kenderaan yang diletakkan di kawasan parkir kereta dinaiki air hingga menenggelamkan tayar masing-masing.

Keadaan banjir itu dikatakan berlaku di Wisma Persekutuan Johor Bahru.

Meskipun jalan raya di kawasan terbabit dinaiki air, kelihatan ada kenderaan cuba meredah banjir kilat itu.

Individu yang merakam video terbabit menggambarkan keadaan air banjir itu deras untuk dilalui.

"Tengok tu, derasnya air Ya ALLAH... Ada bahagian dinaiki air, ada bahagian okey.

"Bahagian simpang ni dah dalam macam Sungai Rajang. Belah sana (bangunan wisma) macam pandemik," katanya.

Video yang dikongsikan Muhd Danial Zakwan mendapat pelbagai reaksi dari warganet sejak tular pada Selasa.

Sementara itu, salah seorang pengguna Facebook berkongsi video menujukkan kawasan Hospital Sultan Aminah mengalami nasib yang sama.

Beberapa kenderaan turut kelihatan cuba meredah banjir yang melanda di kawasan itu.

Menerusi video tersebut, kelihatan air naik mendadak dan menenggelamkan sebuah kereta.

Belum ada sebarang kenyataan rasmi daripada pihak berkuasa setakat ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram