'Kawasan ini aku pegang!', taiko ugut wanita baru 4 hari jaja tepi jalan, gertak sebar nombor telefon


  • Tular
  • Khamis, 28 Jul 2022

Tangkap layar menunjukkan seorang lelaki didakwa meminta wang perlindungan daripada seorang penjaja tepi jalan.

UNTUNG tidak seberapa tapi kena bayar duit perlindungan kepada abang kawasan pula.

Itulah kejadian yang menimpa seorang penjaja wanita apabila dipaksa untuk membayar duit perlindungan pada seorang lelaki baru-baru ini.

Menerusi video tular yang dimuat naik di halaman Facebook B40 Buat Perangai Apa Hari Ini memaparkan lelaki tersebut didakwa meminta wang pada wanita itu.

Kelihatan lelaki yang berada di dalam sebuah kenderaan itu turut mengugut wanita berkenaan kerana berniaga di kawasan miliknya.

"Sekarang aku nak tanya kau dulu, kau nak meniaga lagi atau tidak?

"Nak meniaga lagi tapi 'langgar' kawasan aku," katanya dengan nada yang kasar.

"Ini bukan langgar bang, saya meniaga," jelas wanita berkenaan.

Lelaki itu turut mengatakan kawasan itu dibawah 'jagaannya'.

"Kawasan ini aku 'pegang' kau tahu.

"Kau nampak sticker (tanda pelekat) kat kereta aku?

"Kalau aku tidak pakai baju, aku tidak tahan orang tapi kau nampak kan sticker, "katanya.

Turut kedengaran wanita itu cuba mengelak dan tidak mahu meneruskan perbualan dengan lelaki berkenaan.

Lelaki itu pada masa yang sama mengeluarkan kata-kata berbaur ugutan pada wanita itu.

"Nombor telefon kau dan suami kau aku dah bagi kat geng (kawan) aku.

"Kalau kau masuk lagi dan kena 'tahan' dengan orang lain itu masalah kau.

"Dengan aku boleh bincang lagi tapi dah empat hari kau berniaga," ugutnya.

Video berdurasi 2 minit itu mengundang kemarahan warganet dan ramai yang bersimpati dengan keadaan penjaja tepi jalan itu.

Salah seorang pengguna Facebook Amminudin Zanil menyifatkan tingkah laku individu tersebut menjatuhkan bangsa sendiri.

"Individu macam inilah yang merosakkan nama orang yang memperjuangkan agama dan bangsa.

"Polis sudah boleh tangkap geng yang suka peras ugut ini.

"Dengan bangsa sendiri bukan main hebat. Tunjuk baju dan sticker tapi bila takut mulalah panggil geng," tulisnya.

"Buat laporan polis. Ini dah macam nak mengugut.

"Kawasan mana ni? Taiko sangat ke? kata Zizan Shaari.

" Orang meniaga tepi jalan pun mamat ini minta duit perlindungan. Senang betul kerja.

"Berapa banyaklah adik itu untung sampai abang nak minta-minta duit. Besar sangat ke pangkat tu? kata Atiqah Azwa.

Kejadian itu dikatakan berlaku di Batu Pahat, Johor Bahru dan belum ada sebarang kenyataan rasmi daripada pihak berkuasa berhubung insiden itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram