Ibarat 'jelmaan' Jamal Yunos, Adun Titi 'warning' ejen judi haram di Titi Serong


  • Tular
  • Isnin, 01 Ogos 2022

Tangkap layar menunjukkan Hasnul memarahi pekerja sebuah kedai didakwa menjalankan operasi judi dalam talian di Pekan Titi Serong.

JIKA dulu kita digemparkan dengan tindakan Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos menggempur pusat perjudian haram di kawasannya, kini situasi yang sama dapat dilihat di Titi Serong, Perak.

Pada 2017, Jamal ditahan polis ekoran tindakannya menyerbu pusat perjudian 'online' di Sekichan dan Ampang pada tahun sebelumnya.

Tindakan wakil rakyat atau pemimpin setempat untuk berani tampil membongkarkan kegiatan buruk seperti perjudian haram amat ditagih rakyat yang bimbangkan aktiviti tersebut boleh menyumbang kepada masalah moral dan sosial.

Enggan berdiam diri, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim mengambil inisiatif menyerbu salah sebuah kedai didakwa menjalankan operasi judi dalam talian di Pekan Titi Serong.

Dalam satu video tular yang dimuat naik halaman Facebook MALAYSIA NEGARA KU menunjukkan Hasnul memarahi seorang individu yang didakwa menjual judi online.

Hasnul juga mendakwa kedai tersebut menipu dan cuba mengaburi pandangan penduduk setempat dengan menggunakan modus operandi membuka kedai menjual tambah nilai kredit.

"Ini nampak dia tipu dan berlakon saja jual.

"Mereka ini semua pekerja jual judi online," katanya.

Turut kedengaran Hasnul memarahi kedua-dua pekerja yang berada di dalam premis tersebut.

"You jangan main-main dengan saya tahu.

"Saya tahu kau jual judi online, tengok muka kau pun aku tahu kau takut.

"Mana ada orang jual topup disini, orang jual di pekan," jeritnya.

Jamal Jui

Jamal pernah mencuri perhatian apabila bertindak berani menyerbu pusat perjudian haram.

Hasnul turut memberi amaran pada pekerja tersebut untuk menutup premis perniagaan itu.

"Aku bagi amaran pada kau. Tutup tempat ini!

"Jangan main-main dengan aku. Kau Rosakkan orang Melayu tahu!

"Kau jual kan? Kau mengaku kau jual," katanya lagi

Sementara itu Hasnul telah memuat naik status dalam Facebooknya menerangkan keadaan tersebut.

"Sekadar berkongsi kronologi tindakan saya terhadap kedai judi online.

"Saya mula menyerbu pusat operasi judi online yang bermaharajalela di Dun Titi Serong terutamanya di Bagan Tiang dan Sg Bakau sejak Januari tahun lalu.

"Saya pernah terjah bersendirian pusat judi online yg menjalankan perniagaan mereka di rumah kedai, rumah orang kampung mahupun dalam kereta," tulisnya.

Hasnul kini menjadi wakil rakyat bebas apabila dipecat daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Disember lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram