Tak mainlah 'parking bas', ini 3 kelab 'gentle' main 'open game' lawan JDT


  • Podium
  • Selasa, 02 Ogos 2022

SUFC antara pasukan yang tidak gentar dengan kredibiliti JDT selaku kelab elit Liga Super. — Facebook/ Sarawak United FC

PERTEMUAN dengan gergasi Liga Super seperti pasukan Johor Darul Takzim(JDT) biasanya akan menuntut sesebuah pasukan bekerja lebih keras agar pasukan tersebut tidak dibolosi dengan mudah.

Beberapa kelab ini dilihat akan bermain dengan menggunakan corak permainan dan taktikal yang tertentu untuk mengekang kemaraan JDT.

Pada masa sama, pasukan ini juga dikesan tidak membuang masa melengah-lengahkan permainan ketika perlawanan berlangsung.

Berikut tiga kelab tempatan yang dilihat berani bermain secara permainan terbuka bila menentang JDT.

1. Sarawak United FC

Sudah beraksi dalam 14 perlawanan Liga Super, Sarawak United FC dilihat sebagai antara pasukan bola sepak yang kurang kontroversi di atas padang.

Setiap kali permainan, pemain Sarawak United dilihat menggunakan taktikal menyerang sepanjang permainan walaupun pasukan mereka ketinggalan.

Mengimbau kembali perlawanan menentang JDT pada 27 Julai lalu, jelas menunjukkan skuad Ngap Sayot terus menyerang sehingga ke hujung perlawanan walaupun mereka kalah 0-4 pada aksi Liga Super.

Pada aksi di Stadium Negeri, Kuching itu, Sarawak United dilihat tidak mampu menandingi kepantasan corak permainan tetapi mereka terus bertahan dan sesekali cuba untuk menyerang.

sabsab

Sabah FC — Facebook/ Sabah

2. Sabah FC

Sabah FC juga dilihat sebagai sebuah pasukan yang berani mengatur serangan terhadap pasukan lawan khususnya ketika berdepan JDT.

Menduduki tangga kedua dalam carta Liga Super, Sabah FC kini meraih 31 mata selepas 14 perlawanan.

Percaturan menentang JDT pada perlawanan sebelum ini juga menunjukkan komitmen dan karakter para pemain yang ditunjukkan skuad Badak sememangnya tidak mudah mengalah.

Walaupun terpalit kontroversi, secara keseluruhan permainan agak tegang sepanjang perlawanan dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan menerusi aksi permainan yang tangkas.

Skuad Badak sebelum itu berjaya bertahan dengan kedudukan 1-1 sehingga hujung 90 minit sebelum pengadil memberi tambahan lima minit yang menyebabkan kedudukan berubah susulan sepakan percuma dari luar kotak penalti gawang Sabah.

Disebabkan itu, skuad Harimau Selatan akhirnya membawa pulang tiga mata selepas mencipta dua gol menerusi Fernando Forestieri, masing-masing pada minit ke-26 dan ke-95 pada perlawanan itu.

melaka

Melaka United FC — Facebook/ Melaka United

3. Melaka United FC

Perlawanan suku akhir Piala FA 2022 di antara pasukan Melaka United FC (MUFC) dan Johor Darul Takzim di Stadium Hang Jebat, Melaka juga tidak kurang menariknya.

Dalam permainan tersebut, JDT dilihat terus memberikan tekanan kepada benteng MUFC, namun skuad hang Jebat dilihat lebih banyak menyerang melalui gerak serangan balas.

Kemenangan akhirnya berpihak kepada pasukan JDT yang menewaskan Melaka United dengan keputusan 2-1 dalam perlawanan yang dilangsungkan di Stadium Hang Jebat itu.

Selain itu, skuad kendalian Asri Ninggal ini juga berjaya memberi persembahan yang menarik untuk mengimbangi kekuatan lawan dari pelbagai aspek.

Ini terbukti apabila Melaka FC dilihat berjaya menyerap asakan JDT pada perlawanan Liga Super 2022 pada 2 Julai lalu.

Pada perlawanan tersebut, kedua-dua pasukan terikat seri 1 -1. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram