Suka atau tidak, ini 5 import dianggap paling gagal di Liga Super


  • Podium
  • Ahad, 15 Mei 2022

Kredibiliti Pessoa (tengah) belum cukup memikat hati peminat Sabah FC musim ini. — Agensi

DENGAN kos yang sudah semestinya besar untuk membawa masuk pemain import saban musim, pasti ramai peminat bola sepak tanah air yang mengharapkan supaya mereka melakar kejayaan bagi mewakili setiap pasukan khususnya bagi saingan Liga Super.

Namun, wang ringgit yang diterima oleh mereka seakan-akan sia-sia sekiranya penampilan mereka di dalam setiap perlawanan gagal memberi kejayaan yang diharapkan.

Apatah lagi, perlawanan Liga Super yang sedang berlangsung sememangnya merupakan perlawanan penting bagi setiap pasukan yang terlibat, apatah lagi peminat.

Justeru, tidak keterlaluan jika menyifatkan berikut adalah senarai lima pemain import yang disifatkan paling gagal dalam saingan Liga Super musim ini.

Screenshot 2022-05-14 210537

Zatara antara pemain dikecam peminat ketika ini. — Sri Pahang FC

1. Mahmoud Za'tara

Prestasi tidak menentu penyerang dari Jordan yang bermain di Sri Pahang FC ini tidak disenangi penyokong kelab tersebut yang mahukan pemain itu dibuang serta-merta.

Setakat ini, Za'tara sekadar menjaringkan satu gol sahaja ketika bertemu dengan Melaka United yang menyaksikan Sri Pahang kalah 1-2.

Itu pun gol yang dijaringkannya hanya menerusi sepakan penalti.

Disebabkan itu, penyokong Sri Pahang mula meluahkan bahawa Za'tara perlu dengan pemain lain yang mampu mencetak gol berbanding pemain yang berasal dari Jordan itu.

Apatah lagi dengan jendela pendaftaran pemain untuk musim 2022 akan dibuka bermula 28 Mei hingga 24 Jun depan, peminat sudah mula meminta jurulatih memilih pemain baharu.

1200148

Habib menjadi mangsa kecaman kerana persembahan yang tidak meyakinkan dalam beberapa perlawanan terdahulu. — TFC

2. Habib Haroon

Meskipun memperoleh dua kemenangan berturut-turut tanpa bolos pada April lalu, penyokong berpendapat, masih ada ruang yang boleh diperbaiki oleh skuad Terengganu FC (TFC) bagi memastikan pasukan konsisten pada perlawanan berikutnya.

Sebilangan penyokong TFC meluahkan rungutan bahawa mereka tidak berkenan dengan persembahan pemain import dari Bahrain, Habib Haroon yang dilihat gagal mengawal bahagian tengah dengan baik.

Ada penyokong yang runsing melihat corak permainan Habib selepas empat perlawanan.

Mereka juga berharap Skuad Penyu itu mampu mencari pemain tengah bertahan dari Asia ketika transfer window kelak.

Habib sebelum ini juga turut menjadi mangsa kecaman kerana persembahan yang tidak meyakinkan dalam beberapa perlawanan terdahulu.

82403981_858757007892064_760803703585243136_o

Buschening direhatkan selama enam bulan kerana perlu menjalani pembedahan.— The Rhinos Troops

3. Dennis Buschening

Pemain import kuota Asia Tenggara, Dennis Buschening antara pemain Kedah Darul Aman (KDA) FC yang gagal menunjukkan persembahan konsisten dalam perlawanan selain Ronald Ngah dan Marc Vales.

Buschening mengalami kecederaan terlalu lama menyebabkan kritikan penyokong.

Bermula bulan lalu, dia direhatkan selama enam bulan kerana perlu menjalani pembedahan akibat kecederaan Tendon Achiles.

Perkara tersebut didedahkan oleh Pengendali Sang Kenari, Aidil Sharin Sahak selepas pasukannya menang tipis 1-0 ke atas Sri Pahang FC pada aksi ketiga Liga Super 2022.

Netto

Pessoa hanya meledak sebutir jaringan setakat ini. — Agensi

4. Neto Pessoa

Pemain import Sabah FC, Neto Pessoa tiba di Malaysia pada jendela perpindahan awal musim bagi mengisi posisi penyerang utama Sang Badak.

Namun malangnya, selepas empat perlawanan Liga Super, Pessoa terpaksa diketepikan akibat masalah kecederaan.

Malah, Pessoa juga hanya 'sempat' meledak satu jaringan bersama Sabah FC.

ronaldngah

Ronald Ngah kembali menemui sentuhan sebenar apabila meledak hatrik baru-baru ini — KDA FC

5. Ronald Ngah Wanja

Benci tapi cinta, mungkin itu adalah contoh terbaik bagi menggambarkan perasaan peminat Kedah FC terhadap penyerang terbaik Liga Jordan musim lepas, Ronald Ngah Wanja sebaik menjejakkan kaki di Stadium Darul Aman musim ini lantaran dikatakan gagal menepati tag harganya yang mencecah RM1.9 juta.

Selepas bermula hambar pada permulaan musim, penyerang Cameroon ini begitupun dilihat kembali semula menemui sentuhan sebenar apabila mencetak hatrik pertama bersama Sang Kenari ketika sekadar seri 3-3 dengan PJ City baru-baru ini.

Cuma, ia belum cukup untuk memuaskan hati peminat yang kekal beranggapan betapa Ronald Ngah antara pemain import yang dianggap gagal dalam saingan Liga Super musim ini, terutamanya apabila dia didakwa terlalu perlahan sebagai seorang penyerang lincah.

Biarpun ada yang menyifatkan ia sebenarnya berpunca daripada kekeringan idea jentera tengah Kedah, suka atau tidak nama Ronald Ngah sedikit sebanyak tetap terpalit sama apabila majoriti peminat mendesak pihak pengurusan supaya segera menyingkirkannya sebaik jendela perpindahan pemain dibuka semula tidak lama lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram