KETUA jurulatih Kelantan FC, Rezal Zambery Yahya mengakui tidak berpuas hati dengan persembahan keseluruhan anak buahnya, meskipun menang 1-0 ke atas Terengganu FC ll (TFC ll) pada aksi Liga Premier di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di Kuala Terengganu, Terengganu pada Ahad.
Menurut beliau, pemainnya gagal menyusun pergerakan dengan baik pada babak kedua, walaupun dalam keadaan pasukan lawan beraksi hanya dengan 10 orang selepas pertahanan import, Argzim Redzovic dilayangkan kad merah.
"Kita sepatutnya lebih mendominasi permainan pada babak kedua kerana skuad penyu hanya beraksi dengan 10 pemain.
"Tetapi mungkin kerana terlalu ghairah untuk mencari gol kedua bagi 'membunuh' perlawanan lebih awal, pergerakan pemain terutama di bahagian serangan menjadi tidak tersusun dan kita pula dikenakan serangan balas oleh pihak lawan," katanya selepas aksi Liga Premier antara Kelantan FC dengan TFC ll.
Pada pertemuan itu, skuad The Red Warriors menang tipis ke atas The Turtles hasil jaringan penyerang berbisa, Nurshamil Abd Ghani pada minit ke-29.
Bagaimanapun, pada masa sama jurulatih muda kelahiran Johor itu tetap bersyukur kerana berjaya mengutip tiga mata penuh untuk kekal di tangga kedua liga selepas pasukan Johor Darul Takzim ll (JDT ll).
Sementara itu, pengendali TFC ll Badrul Afzan Razali berkata, masalah ketumpulan penyudah menyebabkan pasukannya terpaksa pulang tanpa sebarang mata di laman sendiri malam Ahad.
Menurutnya, pada babak kedua skuadnya berjaya mencipta tujuh peluang untuk mendapatkan sekurang-kurangnya satu gol, namun gagal disebabkan ketumpulan barisan hadapan.
"Saya sebenarnya tidak berpuas hati kerana babak kedua kita ada menguasai permainan dan cipta banyak peluang, tetapi semua serba tak menjadi," katanya yang menghuni tangga kelima liga dengan kutipan 10 mata. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram