PENGENDALI Terengganu FC ll (TFC ll), Badrul Afzan Razali optimis anak buahnya mampu memperoleh tiga mata penuh ketika berdepan Kelantan FC dalam aksi Liga Premier di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah,Kuala Terengganu, Terengganu malam esok.
Beraksi di laman sendiri, jurulatih berusia 46 tahun itu mahu pemainnya memanfaatkan sepenuhnya peluang untuk memastikan kedudukan The Turtles dalam liga musim ini lebih baik berbanding tahun lepas.
"Saya akui cabaran malam esok bukan 'kecil-kecil anak' kerana Kelantan FC sekarang ini berada di takhta teratas liga.
"Bagaimanapun kelebihan beraksi di laman sendiri sepatutnya dimanfaatkan pemain untuk meneruskan momentum kemenangan yang kita capai ketika berdepan pasukan UiTM FC tempoh hari," katanya ketika ditemui di sesi latihan di Gong Badak di Kuala Nerus, Terengganu.
Skuad The Red Warriors yang dibimbing ketua jurulatih Rezal Zambery Yahya ketika ini menerajui tangga teratas Liga Premier dengan 15 mata selepas menang lima daripada enam perlawanan.
TFC ll pula setakat ini berjaya mengumpul 10 mata daripada lima perlawanan dan berada di tangga keempat liga di belakang Kelantan United yang berkelebihan tiga mata.
Mengulas mengenai ketiadaan dua pemain utamanya Nur Azfar Fikri Azhar dan Safwan Mazlan pada perlawanan malam esok, Badrul menjelaskan perkara itu tidak akan menjejaskan prestasi pasukan kerana perancangan awal telah dilakukan.
Beliau berkata, kekosongan dua ayam tambatan skuadnya akan diisi oleh tiga pemain daripada pasukan Terengganu FC (TFC) yang ketika ini sedang berehat panjang daripada sebarang perlawanan.
"Alhamdulillah kita dah dapat kebenaran untuk gunakan khidmat Zuasyraf Zulkifli, Engku Muhammad Nur Shakir Engku Yacob dan Rahmat Makasuf malam esok.
"Dengan bantuan dua import juga, kita harap segala perancangan berjalan lancar malam esok," katanya yang terpaksa merehatkan tonggak import Luke Woodland akibat kecederaan. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram