Dua kelab penyumbang utama skuad Harimau Muda


Malaysia akan meneruskan cabaran dengan berdepan Laos pada 11 Mei, Singapura (14 Mei) dan menutup saingan kumpulan menentang Kemboja pada 16 Mei. — Facebook FAM

HARIMAU Muda melakar kemenangan selepas berjaya menewaskan Thailand 2-1 pada perlawanan pembukaan Kumpulan B di Stadium Thien Truong, Nam Dinh, Vietnam bagi saingan acara bola sepak lelaki Sukan SEA ke-31.

Ahmad Danial Ahmad Asri dan Muhammad Nur Azfar, masing-masing berjaya menyumbangkan satu gol untuk pasukan Malaysia dan sekali gus berjaya memastikan negara mengumpul tiga mata penuh bagi aksi Kumpulan B.

Keputusan itu menyaksikan Malaysia berjaya melunaskan dendam kekalahan di pentas final edisi 2017 di Kuala Lumpur, yang juga pertemuan terakhir kedua-dua pasukan di temasya sukan dwitahunan itu.

Kejayaan Harimau Muda itu mendapat pujian daripada penyokong bola sepak tanah air, malah tidak kurang juga ada yang memuji kelab asal mereka kerana berjaya membentuk pemain-pemain muda.

Kelab asal Ahmad Danial, Selangor FC dan Azfar dari Terengganu FC II merupakan antara pasukan yang menyumbang pemain Harimau Muda terbanyak yang dihantar mewakili Malaysia bagi saingan Sukan SEA ke-31.

mukhari ajmal

Pemain Selangor FC, Mukhari Ajmal dipilih sebagai kapten Harimau Muda pada perlawanan menentang pasukan Gajah Putih itu. — Facebook FAM

Pemerhati bola sepak, Don K-Rul Izham berkata, pengurusan dua kelab berkenaan perlu dicontohi kerana mempercayai bakat muda dengan memberi peluang kepada mereka beraksi pada Liga Super dan Liga Perdana.

"Aku masih ingat keratan akhbar cakap Selangor gila sebab rembat pemain-pemain Akademi Mokhtar Dahari (AMD) tapi Michael Feichtenbeiner cakap jangan risau kami ada rancangan untuk 'budak-budak' ini.

"Akhirnya Feichtenbeiner tunaikan janji, tengok lineup Malaysia hari ini, 7 dari 9 pemain Feichtenbeiner main untuk Malaysia. Mereka ini bukan terus kita puji bagus tapi mereka ada minit permainan dalam Liga Super atau Liga Perdana, satu tapak yang sangat baik untuk pasukan Malaysia," katanya.

Selain pemain yang jaringkan gol pada perlawanan Sabtu malam itu, pemain di bawah kendalian Nafuzi Zain iaitu pemain pertahanan Terengganu, Azam Azmi dan Syafiq Ismail turut mendapat perhatian penyokong Harimau Muda.

"Bagus apabila pengurusan kelab Malaysia seperti TFC dan SFC ini buat, sekurang-kurangnya pemain-pemain ini dapat character mereka untuk mewakili Malaysia.

"Ini salah satu kebaikan feeder club, utamakan pemain muda dan berpotensi diserap ke skuad utama bila capai maksimum. Bagi aku, dua pasukan ini menepati kriteria feeder tu," ujarnya.

Malaysia kini menerajui saingan Kumpulan B mengumpul tiga mata sementara Laos dan Singapura yang terikat 2-2 dalam satu lagi aksi masing-masing di tempat kedua dan ketiga manakala Kemboja (keempat) dan Thailand tercorot.

Selepas ini, Malaysia akan meneruskan cabaran dengan berdepan Laos pada 11 Mei, Singapura (14 Mei) dan menutup saingan kumpulan menentang Kemboja pada 16 Mei. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram