DI sebalik kejayaan Harimau Muda menewaskan Thailand 2-1 pada perlawanan sulung Kumpulan B di Stadium Thien Truong bagi saingan acara bola sepak lelaki Sukan SEA ke-31, peminat dikejutkan dengan insiden kecederaan yang menimpa pemain pertahanan negara, Azam Azmi Murad.
Pertahanan Terengganu FC (TFC) berusia 21 tahun itu mengalami kecederaan kepala akibat terhantuk dengan pemain Thailand, Jaturapat Sattham pada minit ke-62.
Melalui siaran secara langsung yang disiarkan di Astro Arena, bek kanan Harimau Muda itu kelihatan diusung memasuki sebuah ambulans untuk mendapatkan rawatan susulan di hospital.
Keadaan Azam Azmi ketika dilawat jurulatih, Brad Maloney di hospital Province Nam Dinh.
Bukan Azam Azmi seorang yang mengalami kecederaan kerana sebelum itu, tonggak TFC, Muhammad Hairiey Hakim Mamat turut alami perkara sama dan pasukan negara terpaksa melakukan pertukaran awal di posisi pertahanan kiri pada minit ke-29 dengan Muhammad Safwan Mazlan.
Kecederaan dua tonggak skuad Penyu itu merisaukan penyokong sehingga mereka menyifatkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) seakan menganiayai TFC yang sedang menghadapi saingan Liga Malaysia.
"Hebat FAM aniaya TFC. Azam dan Hairiey cedera. Sekali kombo," ujar pemilik akaun, Syafiq Ahmad di halaman penyokong Terengganu FC.
"Adu pemain utama TFC cedera, peninglah jurulatih sekarang," kata Khairl Azmi Wahab yang senada dengan Syafiq Ahmad.
Bagi pemilik akaun, Mohd Nurkhairin Aren pula mengharapkan kecederaan yang dialami dua pemain itu untuk segera pulih berikutan risau akan kerugian dialami TFC jika keduanya tidak dapat bermain untuk tempoh yang lama.
"Merugikan TFC, sebab itu TFC tidak nak lepaskan pemain-pemainnya," kata Yus Azizie Che Yusoff.
Pada Ahad, media melaporkan Azam Azmi dibenarkan keluar hospital lewat pagi Ahad selepas mengalami kecederaan ketika menentang pasukan Gajah Putih.
Pengendali Malaysia B-23, Brad Maloney bergegas ke Hospital Province Nam Dinh, Vietnam sejurus tamat perlawanan malam tadi bagi melihat keadaan Azam.
Malaysia akan menentang Laos dalam aksi kedua Kumpulan B, Rabu ini, diikuti Singapura (Sabtu) dan Kemboja pada 16 Mei. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram