Skuad Gajah Perang penentu nasib Harimau Muda


  • Podium
  • Khamis, 05 Mei 2022

Muhammad Azam (empat dari kanan) berpendapat jika Harimau Muda mampu beroleh kemenangan, ia satu bonus yang akan menaikkan semangat serta momentum pasukan. — Facebook

PEMAIN kebangsaan, Muhammad Azam Azmi Murad berazam menyumbang sekurang-kurangnya satu mata untuk negara bersama rakan sepasukan pada perlawanan pertama Kumpulan B menentang Thailand di temasya Sukan SEA, Hanoi, Sabtu ini.

Meskipun sukar, pemain pertahanan Terengganu FC (TFC) yang berusia 21 tahun itu tetap yakin dan menaruh harapan tinggi agar misi menaikkan nama skuad bola sepak negara di peringkat lebih tinggi akan tercapai.

"Amat penting untuk kita menghasilkan satu mata pada perlawanan pertama dengan Thailand kerana ia akan menyuntik motivasi skuad untuk perlawanan kedua menentang Laos pada 11 Mei nanti.

"Jika kita mampu beroleh kemenangan, ia satu bonus yang akan menaikkan semangat serta momentum pasukan," katanya ketika dihubungi melalui aplikasi WhatsApp.

Selain Muhammad Azam, empat lagi pemain TFC turut terpilih menyarung jersi skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan di bawah bimbingan Ketua Jurulatih Brad Maloney.

Mereka ialah Nik Akif Syahiran Nik Mat, Muhammad Hairiey Hakim Mamat, Syafik Ismail dan penjaga gol muda, Rahadiazli Rahalim.

Turut terpilih menyertai kem tersebut ialah dua pemain daripada skuad 'adik' TFC, Terengganu FC ll (TFC II) iaitu Safwan Mazlan dan Nur Azfar Fikri Azhar yang berusia 22 tahun.

Dalam pada itu, Muhammad Azam berkata, beliau akan menggunakan segala pengalaman ketika beraksi bersama kelab dan skuad Bawah 18 Tahun bagi memastikan negara tidak pulang dengan tangan kosong.

"Keterujaan dapat menyarung jersi kebangsaan dan beraksi di pentas lebih tinggi memang mengujakan, ditambah pula dengan kehadiran ramai rakan sepasukan yang akan sama-sama menghadapi cabaran skuad Gajah Perang," katanya. — Bernama



Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram