Lee Tuck, Aguero mampu ubah nasib Sri Pahang


  • Podium
  • Khamis, 12 Mei 2022

Lee Tuck dipinjam kepada pasukan TFC musim lalu. — Sri Pahang

PERSEMBAHAN Sri Pahang dalam Liga Super pada musim ini dilihat agak terumbang-ambing dengan hanya dua kemenangan, satu seri dan tiga kekalahan selepas enam perlawanan.

Walaupun menunjukkan permainan cantik di bawah pengendali baharu, Christophe Gamel, Sri Pahang masih belum mampu menunjukkan konsistensi dalam setiap perlawanan.

Sejak Liga Malaysia memulakan saingan pada Mac lalu, kelibat dua pemain Sri Pahang, Lee Tuck dan Sergio Aguero menjadi tanda tanya para penyokong.

Walaupun kedua-dua pemain ini dilaporkan sedang dalam proses naturalisasi, sehingga kini tiada sebarang jawapan tepat mengenai status kedua-dua pemain ini.

Penyokong juga sudah tidak sabar mahu melihat kedua-dua pemain ini beraksi dalam jersi Sri Pahang selepas persembahan buruk yang dipamerkan dalam beberapa perlawanan musim ini.

Ketumpulan barisan serangan terutamanya penyerang yang dibawa masuk awal musim ini, Mahmoud Za'tara menjadi kerisauan buat penyokong, apabila dia hanya mampu mencetak satu gol dalam lima perlawanan buat Sri Pahang setakat ini.

Perkara itu membuatkan ramai penyokong yang mahukan pihak pengurusan membawa penyerang baharu ketika jendela pendaftaran pemain kedua dibuka hujung bulan ini.

Namun, dari segi wang, ia pasti membebankan pihak pengurusan yang sudah berbelanja banyak membawa masuk ramai pemain baharu awal musim ini.

Kemunculan Aguero di bahagian serangan pastinya boleh membawa sesuatu yang segar dalam skuad.

Musim lalu, dia dipinjamkan ke Perak FC dan mempamerkan aksi hebat sehingga ramai penyokong yang mahu pemain Argentina itu dikekalkan oleh pengurusan.

Keputusan pengendali Sri Pahang, Christophe Gamel untuk mengekalkan pemain berusia 28 tahun itu pastinya disebabkan beliau mempunyai perancangan untuknya dalam skuad.

Tahun ini, Aguero sudah menginjak usia 28 tahun dan ia merupakan usia puncak bagi seseorang pemain bola sepak.

Sementara itu, walaupun bahagian tengah Sri Pahang dilihat tidak mempunyai masalah terutama dengan persembahan mantap Azam Azih dan Manuel Hidalgo dalam setiap perlawanan, kehadiran Lee Tuck semestinya bakal memperkukuhkan lagi barisan tengah Tok Gajah.

Pemain kelahiran Huddersfield, England itu dikenali dengan kerajiannya di padang dan sentiasa membantu bahagian serangan dan pertahanan pasukan

Beliau juga mempunyai kualiti hantaran jauh yang menakjubkan serta kemampuan untuk mencipta sesuatu daripada sepakan penjuru dan juga sepakan percuma.

Fizikalnya yang tegap juga mampu memberi kekuatan tambahan kepada bahagian tengah Sri Pahang berbanding Azam Azih dan Hidalgo.

Gamel juga mengakui beliau sudah tidak sabar menunggu kedua-dua pemain itu melengkapkan proses naturalisasi dan membantu pasukan.

"Kedua-duanya masih dalam proses untuk naturalisasi dan kami perlu menghormati proses ini. Banyak prosedur yang perlu dilakukan namun kami juga perlu menghormati pihak berkuasa dan kerajaan.

"Mereka pemain yang bagus dan cukup penting buat pasukan. Namun saya tidak pasti berapa lama tetapi jika apabila mereka dapat kembali, ia pasti khabar gembira buat kami," katanya.

Untuk rekod, musim lalu, Sri Pahang meminjamkan Tuck kepada Terengganu FC (TFC) manakala Aguero pula bersama Perak FC.

Ketika ini Tok Gajah sudah mempunyai lima pemain import iaitu Billy Ketkeophomphone, Mahmoud Za'tara, Johan Martial, Manuel Hidalgo dan Mamadou Samassa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram