Ketahui 5 kontroversi babit JDT menjelang aksi Piala FA tentang Sarawak United


  • Podium
  • Sabtu, 14 Mei 2022

JDT akan berdepan Sarawak United di Stadium Sultan Ibrahim dalam saingan pusingan kedua Piala FA malam ini. — Facebook/Johor Southern Tigers

MESKIPUN kejayaan demi kejayaan berjaya dilakar oleh pasukan gergasi Malaysia, Johor Darul Takzim (JDT), namun kontroversi melibatkan skuad itu juga dianggap sebagai bahan modal utama perbualan penyokong di warganet.

Dari kejayaan skuad Harimau Selatan yang berjaya melakar sejarah mara ke pusingan 16 terbaik Liga Juara-juara Asia (ACL) sehingga ke perlawanan Liga Malaysia, kontroversi membabitkan pasukan berkenaan seakan-akan tidak menemui titik noktah musim ini.

Berdasarkan perlawanan-perlawanan JDT menentang pasukan lain baru-baru ini, Majoriti menyenaraikan lima kontroversi melibatkan pasukan itu menjelang pertemuan berdepan Sarawak United pada Sabtu malam dalam saingan kedua Piala FA.

1) Masa tambahan 10 minit

Dalam perlawanan menentang Negeri Sembilan FC (NSFC) pada malam Rabu, pengadil memberi masa tambahan selama 10 minit dan perkara itu berjyaa dimanfaatkan JDT dengan jaringan melalui sepakan melencong berkelas dunia Fernando Martin Forestieri.

Namun, penyokong serta penyokong NSFC dilihat terkilan dengan tempoh tambahan masa selama itu kerana menganggap tempoh itu sebagai peluang terbaik buat JDT menjaringkan gol, selain ada juga tidak berpuas hati dengan pengadil yang seakan memihak pada skuad kendalian Benjamin Mora Mendivil.

Rentetan kontroversi berkenaan, bekas Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Subkhiddin Mohd Salleh menyifatkan situasi pemberian masa tambahan sehingga 10 minit bukanlah perkara yang luar biasa.

2) Raih gol seperti perlawanan akhir

Selain isu masa tambahan 10 minit, peminat bola sepak tempatan turut mengkritik JDT yang meraikan jaringan tunggal Forestieri pada perlawanan menentang skuad Hobin Jang Hobin itu seolah-olah seperti beraksi di perlawanan akhir.

Sehubungan dengan itu, pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menjawab kontroversi berkenaan dengan berkata, setiap kejayaan yang diraih, baik kecil ataupun besar adalah penting kepada pasukan dan ia hasil daripada pemikiran mentaliti menang (winning mentality) yang diterapkan ke dalam setiap pemain.

nsfc

Forestieri meraihkan gol bersama penyokong semasa menentang NSFC.

3) Ultras JDT tidak berbaju

Baru-baru ini, ultras JDT yang dikenali Boys of Straits (BOS) dikriktik oleh penyokong bola sepak tempatan kerana dilihat tidak memakai baju ketika memberi sokongan terhadap pasukan kesayangan mereka.

Perkara itu dikritik hebat oleh penyokong di laman media sosial Facebook sehingga ada yang mencadangkan agar TMJ supaya menyumbangkan singlet bagi ultras berkenaan.

Menurut warganet, perbuatan ultras JDT itu bukan sesuatu yang sopan bagi budaya di negara ini dan ramai penyokong yang geli dengan aksi mereka tidak berbaju ketika membuat sorakan.

4) Farizal Marlias cedera

Insiden membabitkan penjaga gol utama JDT, Farizal Marlias berlaku apabila Shane Lowry bertembung sesama sendiri bersama pemain itu akibat situasi kelam-kabut di depan gawang gol tuan rumah ketika berdepan Terengganu FC (TFC).

Kecederaan dialami Mohd Farizal berikutan pelanggaran dengan Shane ketika cuba menyelamatkan hantaran lintang pemain tengah TFC Muhammad Syafik Ismail pada minit ke-61.

Kejadian itu berlaku pada aksi Liga Super menentang TFC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada April lalu dan penjaga gol simpanan, Muhammad Haziq Nadzli dibawa masuk bagi menggantikan Farizal.

farizal

Farizal diusung keluar selepas pelanggaran dengan rakan sepasukannya.

5) Isu anak jati

Selepas JDT berjaya mencipta satu lagi sejarah hebat layak ke pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara Asia, ada juga pihak dikatakan berasa cemburu sehingga mempersoalkan isu anak jati skuad itu.

Ada yang berpendapat kejayaan JDT hanya berteraskan kepada ‘orang asing’ kerana jika dilihat sumbangan gol yang banyak disumbangkan adalah dari pemain import mereka iaitu Bergson da Silva, Forestieri, Leandro Velazquez.

Namun, perkara itu disangkal oleh JDT selepas daripada enam perlawanan Kumpulan I, Harimau Selatan masih lagi memberi kepercayaan dan mempertaruhkan muka tempatan seperti Arif Aiman Hanapi, Farizal Marlias dan Shahrul Saad.

Malah, 'ubi muda' JDT, Arif Aiman semakin dikenali di persada antarabangsa kerana persembahan mengagumkan yang diberikan olehnya sepanjang ACL.

acl

Leandro Velazquez meraikan jaringannya ketika membantu JDT menumpaskan Ulsan Hyundai dalam perlawanan Kumpulan I, Liga Juara-Juara Asia di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

Pada Sabtu, pasukan itu akan berdepan Sarawak United di Stadium Sultan Ibrahim dalam saingan pusingan Piala FA.

Justeru, apa lagi agaknya kontroversi yang akan tercetus malam ini?

Untuk rekod, JDT masih mengekalkan momentum tanpa kalah dalam saingan Liga Malaysia sama ada perlawanan Piala FA dan Liga Super, dan kini menduduki tangga teratas liga dengan 15 mata selepas lima perlawanan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram