BUKAN sekadar jurulatih yang tidak puas hati dengan prestasi pemain di atas padang, penyokong Kelantan FC turut berkongsi pandangan yang sama selepas melihat aksi pasukan itu berdepan Terengganu FC ll (TFC ll) pada Ahad.
Menyifatkan pemain kurang cergas pada aksi Liga Premier di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di Kuala Terengganu, Terengganu, rata-rata penyokong turut mengatakan bahawa pemain dilihat kurang cergas dan malas di atas padang.
Mengutarakan pandangan menerusi komen di sebuah hantaran di Facebook, pemilik akaun Azhan Omar mengatakan bahawa pada pandangannya, hanya 40 peratus pemain dilihat yang cergas dan fokus semasa bermain.
"Tak boleh nak bangga walaupun menang, cara hantaran bola lemah dan hanya 40 peratus yang kelihatan cergas.
"Yang lain pula 'kelaut', malas lari dan lembik," katanya.
Sementara itu, pemilik akaun, Shahrizal Sihabudin pula mengatakan bahawa, situasi yang berlaku ke atas pemain The Red Warriors (TRW) merupakan kesilapan jurulatih kecergasan yang 'tidur'.
Tidak melihat apa yang berlaku berpunca kerana perlawanan berlangsung selepas Aidilfitri, Shahrizal juga berharap agar pengendali TRW, Rezal Zambery Yahya mengambil perhatian berhubung perkara tersebut.
"Bukan soal raya atau makan apa, pasukan lain juga sambut Aidilfitri, makan macam-macam juga.
"Masalah utama TRW adalah stamina, jurulatih kecergasan tidur, harap Rezal Zambery ambil perhatian jika ingin pasukan pergi jauh musim ini," ujarnya.
Dalam pada itu, seorang lagi pemilik akaun, Iszlee Fahzam juga berpendapat sama dan mencadangkan supaya Kelantan FC merisik dua pemain kelab lain untuk menyertai TRW.
Dua nama yang dinyatakan adalah pemain Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Syafiq Ahmad dan pemain import dari Singapura, Hariss Harun.
"Suka dah pasukan menang, tetapi permainan tidak beberapa kemas lagi.
"Minta tahun depan jika masuk Liga Super risik Syafiq Ahmad dan Hariss Harun," kongsinya.
Terdahulu, selepas aksi Liga Premier antara Kelantan FC dengan TFC ll pada Ahad, Rezal Zambery mengakui tidak berpuas hati dengan persembahan keseluruhan anak buahnya, meskipun menang 1-0 dalam perlawanan tersebut.
Menurut beliau, pemainnya gagal menyusun pergerakan dengan baik pada babak kedua, walaupun dalam keadaan pasukan lawan beraksi hanya dengan 10 orang. —Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram