SUDUT-SUDUT tenang di Johor kini perlahan-lahan mengikis imej suram mereka, apabila perkhidmatan ETS (Electric Train Service),mula menarik kehadiran orang ramai.
Perniagaan serta aktiviti hujung minggu ke pekan-pekan yang sebelum ini sekadar menjadi tempat persinggahan.
StarMetro mengunjungi tiga pekan yang mempunyai stesen di sepanjang laluan ETS dan berbual dengan penduduk setempat, bagi melihat bagaimana kehidupan mereka berubah.
BACA LAGI: Jangan sekadar tahu makan, ketahui ilmu penting ketika membeli durian elak ditipu
BACA LAGI: Musang King cecah RM325 sebiji di China, penanam durian manfaat peluang keemasan

Masa perjalanan antara Johor Bahru dan Kuala Lumpur adalah kira-kira empat setengah jam.
Di Kluang, pemilik kedai kopi Lim Jit Chew berkata, perkhidmatan ETS telah menghidupkan kembali suasana pekan itu.
“Sebelum adanya ETS lagi, kami sudah mula melihat peningkatan pengunjung secara beransur-ansur, terutamanya penduduk tempatan yang ingin kembali melancong selepas terperangkap di rumah selama berbulan-bulan ketika pandemik Covid-19.
“Tempat yang sering dipandang sepi seperti Kluang mula mendapat perhatian.
“Pengenalan ETS memang tepat pada masanya kerana ia memberi kemudahan kepada mereka yang ingin meneroka kawasan sendiri dengan pengangkutan awam yang mampu milik,” katanya ketika ditemui di kedai kopinya.
Lim merupakan pemilik generasi ketiga kedai kopi berusia 80 tahun yang terletak di kawasan bekas stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM).
Stesen lama itu kini telah digantikan dengan bangunan baharu yang lebih besar dan terletak bersebelahan dengannya.
Walaupun kedai kopitiam tradisional milik keluarganya itu perlu berjalan sedikit dari stesen baharu, Lim melihat perkara itu tidak menghalang pelanggan untuk singgah.
“Walaupun Kluang sudah mempunyai stesen kereta api sejak bertahun-tahun, perkhidmatan sebelum ini tidak sepantas dan setepat ETS.
“ETS jauh lebih menepati masa, membolehkan penumpang merancang perjalanan dengan lebih baik. Ia juga lebih selesa berbanding perkhidmatan kereta api lama, iaitu Southern Express,” ujarnya.

Stesen kopitiam Kluang, Johor.
Buat masa ini, kebanyakan pengunjung ke Kluang adalah penduduk tempatan atau mereka yang bekerja di Singapura.
“Saya percaya lebih ramai orang akan datang berkunjung apabila kekerapan perkhidmatan kereta api ditingkatkan,” jelasnya.
Pandangan itu turut dikongsi oleh eksekutif kaunter hadapan sebuah hotel di Kluang, Dahlan Lokna, yang melihat orang ramai sudah mula berkunjung ke kawasan tersebut.
“Walaupun belum ada peningkatan ketara dalam kadar penginapan hotel, kita boleh melihat lebih ramai orang berada di Kluang.
“Saya percaya kebanyakan mereka yang datang ke sini, sama ada dengan kereta atau kereta api, hanya membuat lawatan sehari dan tidak bermalam.
“Mungkin trend ini akan berubah, tetapi itulah yang saya perhatikan sejak mula bekerja di sini kira-kira tiga tahun lalu,” jelasnya.
Di Renggam, Atikah Ishak berkata peningkatan jumlah pengunjung berlaku secara perlahan, namun jelas kelihatan.
Renggam merupakan sebuah pekan di bawah daerah Kluang, terletak kira-kira 80 kilometr (KM) dari Johor Bahru.
“Saya tidak akan mengatakan peningkatan itu ketara, tetapi saya memang melihat lebih ramai wajah baharu di sini.
“Masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan, namun saya rasa kita akan melihat lebih ramai pengunjung dalam tempoh dua hingga tiga bulan akan datang.
“Saya fikir ramai orang, terutamanya dari luar Johor, masih belum mengetahui pekan-pekan kecil yang dilalui oleh ETS,” katanya.
Atikah, yang bekerja sebagai tukang masak di sebuah medan selera berhampiran stesen KTM Renggam, turut senada dengan pandangan Dahlan mengenai keperluan lebih banyak aktiviti pelancongan di pekan-pekan kecil.
“Tidak banyak yang boleh ditawarkan kepada pengunjung selain tarikan sebuah pekan lama yang tenang, dan itu mungkin tidak menarik minat semua orang,” ujarnya.
“Jika ada lebih banyak tempat untuk dilawati, mungkin kita akan melihat jumlah pengunjung yang lebih ramai datang ke sini,” tambahnya.
Pembuat kuih Fatimah Ibrahim juga gembira melihat peningkatan beransur-ansur jumlah orang yang berkunjung ke pekan itu.
“Di pekan kecil seperti ini, kami mudah mengenali sama ada seseorang itu orang tempatan atau tidak.
“Peningkatan itu tidak begitu ketara, tetapi tidak mengapa kerana kami mungkin tidak mampu menampung jika berlaku lonjakan mendadak.
“Yang penting, penduduk tempatan dapat menikmati kemudahan perkhidmatan kereta api yang lebih pantas, terutama mereka yang tinggal di pekan berhampiran," ujarnya.
Menurutnya, kebanyakan golongan muda dari Renggam kini menetap di bandar-bandar seperti Johor Bahru dan Singapura.
“Perkhidmatan ini akan memudahkan mereka pulang ke kampung halaman, dan pada masa sama membantu mengeratkan hubungan kekeluargaan,” kata Fatimah.
Di Bekok, sebuah pekan kecil di daerah Segamat, Tan Tok Ha menjual asam laksa hanya beberapa meter dari stesen kereta api.
“Perniagaan bertambah baik, terutama pada hujung minggu, tetapi pada hari biasa tidak banyak perbezaan.
“Kebiasaannya, perniagaan memang perlahan pada awal tahun, lebih-lebih lagi dengan sesi persekolahan bermula dan Tahun Baharu Cina yang bakal tiba.
“Saya berharap akan melihat peningkatan jualan semasa dan selepas Tahun Baharu Cina,” katanya sambil menambah bahawa kebanyakan pelanggannya adalah penduduk tempatan.
“Kami masih belum melihat kehadiran orang ramai dari Singapura. Harapnya mereka akan datang ke sini dalam beberapa bulan akan datang.
“Bekok merupakan tempat yang sesuai untuk berehat daripada kesibukan bandar besar,” kata Tan.
Tidak jauh dari gerai Tan, peniaga Kamisan Zakaria kelihatan sibuk melayani pelanggan.
Kamisan, yang telah menjual sate di Bekok dan Chaah selama lebih 40 tahun, berkata beliau yakin perkhidmatan ETS mempunyai potensi untuk membawa limpahan ekonomi kepada penduduk tempatan.
“Baru-baru ini, sebuah kedai makanan India Muslim dibuka di sini dan bagi saya, itu merupakan satu perkembangan positif kerana sebelum ini memang tiada restoran sebegitu di Bekok.
“Ia menunjukkan mereka yakin dengan potensi pekan ini walaupun peningkatan jumlah pengunjung masih belum begitu ketara,” ujarnya.

Durian dijangkan bakal menarik pelancing Singapura ke Johor.
Kamisan berkata musim durian yang bakal tiba dalam satu atau dua bulan lagi dijangka akan menarik lebih ramai pengunjung, terutamanya dari Singapura.
“Bekok terkenal dengan duriannya dan kita boleh melihat berpuluh-puluh warga Singapura datang ke sini untuk menikmati buah tersebut. Kebanyakannya datang menaiki bas pelancongan manakala sebahagian lagi memandu sendiri.
“Dengan adanya ETS sekarang, mereka mempunyai satu lagi pilihan untuk ke sini,” terangnya.
Perkhidmatan ETS3 antara Johor Bahru dan Kuala Lumpur mula beroperasi pada 12 Disember lalu.
Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas–Johor Bahru sepanjang 192km mempunyai 16 hentian, termasuk 11 stesen baharu seperti Kluang, Renggam dan Bekok.
Stesen lain di Johor ialah JB Sentral, Kempas Baru, Kulai, Layang-Layang, Paloh, Labis, Mengkibol, Genuang dan Segamat.
Setiap tren enam gerabak mempunyai kapasiti maksimum 312 penumpang.
Setiap tempat duduk dilengkapi soket kuasa, selain ruang kaki yang luas serta meja individu bagi setiap penumpang.
Tren ini juga berhenti di Bandar Tasik Selatan, Kajang, Seremban, Pulau Sebang dan Batang Melaka.
Dengan kelajuan sehingga 140km/j, masa perjalanan antara Johor Bahru dan Kuala Lumpur adalah kira-kira empat setengah jam.
Pada masa ini, terdapat lapan perjalanan antara Johor Bahru dan Kuala Lumpur setiap hari, dengan empat perjalanan bagi setiap arah.
Pada 20 Januari, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata KTMB akan meningkatkan kekerapan kepada 10 perjalanan sehari dari 13 hingga 22 Februari sempena Tahun Baharu Cina, serta dari 13 hingga 29 Mac bagi Hari Raya Aidilfitri. — The Star/VENESA DEVI
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
