MENCECAH usia 88 tahun, Zainab Abu Bakar, kekal cekal memelihara seni anyaman tikar daripada daun mengkuang.
Walaupun kraf tradisional itu semakin dilupakan akibat arus pemodenan, usia lanjutnya tidak menumpulkan kemahiran jari-jemari Zainab.
Malah, tidak pernah letih apabila tekun menganyam daun mengkuang dengan penuh kreativiti bagi memenuhi tempahan pelanggan.
BACA LAGI: Tandas tersumbat, kepala paip rosak, anda telefon tukang atau betulkan sendiri?
BACA LAGI: iDopaCola agih minuman percuma kepada jemaah Masjid UiTM Shah Alam

Zainab mempelajari kemahiran itu daripada datuknya sejak berusia 13 tahun.
Zainab yang berasal dari Kampung Bukit Mentok di Chukai, Terengganu berkata, beliau mempelajari kemahiran itu daripada datuknya sejak berusia 13 tahun, selepas tertarik dengan kehalusan seni kraftangan masyarakat Melayu yang menetap di situ.
“Dahulu, Kampung Bukit Mentok terkenal sebagai salah satu pusat pengeluaran tikar mengkuang di daerah ini, dengan ramai penduduk kampung terlibat dalam perusahaan tersebut.
“Kini, saya seorang sahaja yang masih aktif menganyam tikar mengkuang kerana generasi muda tidak lagi berminat untuk mewarisi kemahiran tradisional ini,” katanya.
Zainab yang mempunyai lima anak perempuan, 29 cucu dan 58 cicit itu berkata, kerja menganyam tikar mengkuang memerlukan ketekunan, ketelitian serta tahap kesabaran yang tinggi.
Ini kerana setiap peringkat proses dilakukan secara manual dan mengambil masa yang agak lama bagi memastikan hasilnya kemas dan berkualiti.
Menurutnya, kerja tersebut bermula dengan mencari dan memilih daun mengkuang yang sesuai, diikuti proses membelah, merendam, mewarnakan, merangkai, menjemur dan akhirnya menganyam tikar.
Zainab berkata, beliau melakukan semua peringkat kerja itu sendiri dengan bantuan sekali-sekala daripada anak-anak dan cucu-cucunya.
Selain itu, dia yang sentiasa dalam keadaan sihat sering memulakan kerja menganyam seawal pukul 4 pagi.
“Saya tidur awal dan bangun sebelum subuh untuk mula menganyam kerana suasananya lebih selesa ketika cuaca sejuk.
“Namun, saya tidak menganyam setiap hari kecuali jika ada tempahan yang perlu disiapkan,” ujarnya.
Beliau mengambil masa kira-kira lima hari untuk menyiapkan sekeping tikar bersaiz 2.29 meter x 1.37 meter.
Setiap tikar mengkuang dijual pada harga antara RM60 hingga RM70, dan beliau masih menerima banyak tempahan termasuk dari luar Terengganu.
Bagaimanapun, Zainab berkata tiada seorang pun daripada lima anak perempuannya yang berusia antara 52 hingga 70 tahun berminat untuk meneruskan perusahaan tersebut, walaupun mereka memiliki kemahiran berkenaan. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
