SEBUAH program kitar semula di Kelantan yang mengubah kulit telur menjadi baja organik, mengetengahkan kelestarian alam sekitar di samping menyediakan ruang penting untuk terapi, pendidikan dan penglibatan komuniti.
Projek yang dijalankan di Min House Camp di Kubang Kerian ini menghimpunkan kanak-kanak sindrom Down, pelajar universiti serta sukarelawan antarabangsa dalam persekitaran pembelajaran berasaskan alam semula jadi.
Program anjuran Persatuan Sindrom Down Kelantan ini membuktikan bagaimana idea kecil, dan ringkas mampu memberikan manfaat besar kepada manusia dan juga alam sekitar.
BACA LAGI: Pemasaran digital naikkan status graduan, kebolehpasaran bukan sekadar konten media sosial
BACA LAGI: Tekun menganyam di usia emas, Zainab setia pertahan seni tradisi mengkuang

Wan Noriah memeriksa kulit telur, yang dikeringkan sebelum dihancurkan.
Presiden persatuan, Wan Noriah Wan Ramli, yang juga pemilik Min House Camp, berkata inisiatif tersebut kini memasuki tahun ke-10 dan telah berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Beliau berkata program itu menerima Dana Pemerkasaan Sindrom Down bagi tahun 2026, dengan fokus utama kepada penghasilan baja organik dan kompos daripada bahan semula jadi.
“Kulit telur merupakan antara bahan utama yang digunakan.
“Ia sering dibuang, sedangkan kandungan kalsiumnya sangat bermanfaat untuk kesuburan tanah dan pertumbuhan tanaman,” katanya.
Bagi menyokong inisiatif ini, Min House Camp bekerjasama dengan beberapa sekolah di Kota Bharu termasuk SJK (C) Peir Chih dan SK Kedai Piah yang mengumpul dan menyumbangkan kulit telur untuk tujuan pengkomposan.
Wan Noriah berkata aktiviti tersebut turut membantu kanak-kanak sindrom Down mengembangkan kemahiran motor halus, melalui proses menghancurkan dan mengisar kulit telur.
“Amalan ini mudah diteruskan di rumah.
“Inisiatif ini membantu meningkatkan kesedaran tentang kepentingan menghargai sumber yang sering dianggap sebagai sisa,” ujarnya.
Program itu turut menerima sokongan pelajar institusi pengajian tinggi seperti Universiti Malaysia Kelantan dan Politeknik Kota Bharu.
Para pelajar yang mengikuti bidang seperti pertanian, pengajian alam sekitar dan pelancongan bergilir-gilir menjalankan khidmat komuniti di tapak berkenaan.
Min House Camp didaftarkan sebagai destinasi agropelancongan di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
Setakat ini, lebih 1,100 kilogram kulit telur telah dikumpulkan daripada sekolah, rumah persendirian, restoran dan hotel, kebanyakannya dikeringkan sebelum digunakan.
“Inisiatif ini tidak bertujuan untuk menjana keuntungan kerana kami tidak menjual baja atau hasil tanaman berkenaan.
“Sebaliknya, kami mengamalkan perkongsian ilmu dan sumber bagi mendidik masyarakat tentang penjimatan kos, penjagaan alam sekitar serta kehidupan yang harmoni,” ujarnya Wan Noriah.
Beliau menambah, menerusi Inisiatif Community Seed Resort, perkongsian benih organik dan amalan kitar semula membantu membina komuniti yang lebih berdaya tahan, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada sumber komersial.
Sementara itu, sukarelawan dari Maghribi, Elias Azzakriti, 27, menyifatkan penglibatannya sebagai satu pengalaman baharu yang meluaskan pemahamannya tentang kelestarian alam sekitar.
Beliau berkata beliau tidak menyedari bahawa kulit telur boleh digunakan sebagai baja organik, walaupun gaya hidup tradisional masih diamalkan di negaranya.
Seorang lagi sukarelawan, Anas Zehti, 26, menjelaskan bahawa kulit telur yang dihancurkan mampu memperbaiki struktur tanah secara semula jadi.
Beliau berharap dapat berkongsi pengetahuan ini dengan komuniti di luar negara.— The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
