Berat badan naik 4 kali ganda selepas berhenti ubat kurus, jom amalkan diet sihat dan senaman


  • Hobi
  • Khamis, 15 Jan 2026

Ubat GLP-1 merupakan alat yang sangat berharga dalam rawatan obesiti, namun obesiti ialah satu keadaan kronik yang mudah berulang.

PASTINYA sesuatu yang sukar atau tidak mudah untuk dihadam apabila seseorang yang berbadan besar atau berisi diperli gemuk, dalam erti kata lain body shaming.

Perkara tersebut mendorong ramai dalam kalangan kita membuat keputusan untuk mengambil pil kurus bagi menurunkan berat badan dengan segara.

Namun, usah terburu-buru. Menurut kajian baharu yang diterbitkan pada 8 Januari 2026, apabila seseorang berhenti mengambil ubat kurus, berat badan mereka kembali naik empat kali lebih cepat, berbanding mereka yang menghentikan rejim diet dan senaman.

 

BACA LAGI: Bukan setakat skrin gajet, kanak-kanak belajar teroka kemahiran hidup dunia sebenar

BACA LAGI: Musang King cecah RM325 sebiji di China, penanam durian manfaat peluang keemasan

 

Berbanding perubahan gaya hidup seperti makan sihat dan bersenam, mereka yang hanya mengambil ubat penurunan berat badan cenderung menambah berat lebih cepat selepas menghentikannya.

Penyelidik dari Britain yang menjalankan ulasan terbesar dan paling terkini mengenai topik tersebut, berkata perkara ini berlaku kerana mereka kehilangan berat badan yang sangat banyak pada peringkat awal.

Generasi baharu lebih gemar mengambil suntikan penahan selera makan yang dikenali sebagai agonis GLP-1 yang telah menjadi sangat popular sejak beberapa tahun kebelakangan ini, sekali gus mengubah rawatan obesiti dan diabetes di banyak negara.

Ubat-ubatan ini didapati membantu individu menurunkan antara 15 hingga 20 peratus berat badan mereka.

“Keseluruhannya, ini kelihatan seperti satu perkembangan yang positif,” kata saintis pemakanan kesihatan awam Universiti Oxford, Profesor Dr Susan Jebb, yang turut menulis kajian tersebut yang diterbitkan dalam jurnal perubatan The BMJ.

Namun begitu, data terkini menunjukkan kira-kira separuh daripada pengguna sudah berhenti mengambil ubat ini dalam tempoh setahun,” katanya.

Keadaan ini mungkin disebabkan oleh kesan sampingan yang lazim seperti loya atau faktor kos, memandangkan harga ubat-ubatan ini boleh melebihi AS$1,000 (RM4,063) sebulan di Amerika Syarikat.

Sehubungan itu, penyelidik meneliti 37 kajian yang berkaitan dengan pemberhentian pelbagai jenis ubat penurunan berat badan dan mendapati peserta mengalami peningkatan berat badan sekitar 0.4 kilogram sebulan.

Enam daripada ujian klinikal tersebut melibatkan semaglutide dan tirzepatide. Semasa mengambil kedua-dua ubat berkenaan, peserta kajian kehilangan purata hampir 15 kilogram.

Namun, selepas menghentikan pengambilan ubat mereka kembali menambah berat badan sebanyak 10 kilogram dalam tempoh setahun, iaitu tempoh susulan terpanjang yang tersedia bagi ubat-ubatan baharu ini.

Penyelidik melihat peserta akan kembali ke berat badan asal mereka dalam tempoh 18 bulan.

Ukuran kesihatan jantung, termasuk tekanan darah dan paras kolesterol, juga kembali ke tahap asal selepas 1.4 tahun.

Individu yang mengikuti program melibatkan diet dan senaman tanpa penggunaan ubat pula kehilangan berat badan yang jauh lebih sedikit.

Namun begitu, mereka mengambil purata tempoh empat tahun untuk kembali menambah berat badan yang telah hilang.

Ini bermakna individu yang mengambil ubat-ubatan tersebut mengalami kenaikan semula berat badan pada kadar empat kali lebih cepat.

Profesor Jebb menegaskan, ubat GLP-1 merupakan alat yang sangat berharga dalam rawatan obesiti, namun obesiti ialah satu keadaan kronik yang mudah berulang.

“Seseorang boleh menjangkakan bahawa rawatan ini perlu diteruskan sepanjang hayat, sama seperti ubat tekanan darah,”ujarnya.

Tegas penyelidik jika perkara ini berlaku, ia akan memberi kesan terhadap cara sistem kesihatan negara menilai sama ada ubat-ubatan ini berbaloi dari segi kos.

“Data baharu ini menjelaskan bahawa ubat-ubatan tersebut hanyalah titik permulaan, bukannya penawar.

“Rawatan yang mampan berkemungkinan memerlukan pendekatan gabungan, strategi jangka panjang, serta terapi yang membentuk semula cara otak mentafsir keseimbangan tenaga, bukan sekadar penyelesaian jangka pendek,” jelas Ketua Makmal Penyelidikan Neurosains Metabolik, Universiti Melbourne, Australia, Profesor Dr Garron Dodd, yang tidak terlibat dalam kajian berkenaan. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram