BUKU mampu milik, pakaian percuma dan fabrik yang digunakan semula membuktikan bahawa langkah berjimat cermat tidak semestinya mengorbankan elemen kualiti atau maruah diri.
Barangan terpakai atau popular digelar preloved kini semakin menjadi ikutan dan fenomena, sekali gus membentuk komuniti tersendiri.
Sebagai contoh, Khaleena Khalid tampil dengan inisiatif menjual buku terpakai dengan menetapkan harga antara RM5 hingga RM20.
BACA LAGI: [VIDEO] Hobi kumpul Pokemon TCG jadi kegilaan, anak jati Kelantan sanggup labur jutaan ringgit

Khaleena menyusun buku di rak di kedai buku terpakainya di dalam sebuah kafe di Jalan Tan Hiok Nee, Johor Bahru.
Menurut Khaleena, langkah ini menjadikan bahan bacaan lebih mudah diakses memandangkan harga buku fiksyen import dipasaran mencecah lebih RM70.
Khaleena berkata, dia memulakan inisiatif tersebut 11 tahun lalu sebagai sekadar minat, dan sejak itu ia berkembang menjadi satu gerakan yang mempromosikan pembacaan buku mampu milik.
Dengan koleksi sebanyak 1,500 buah buku yang ditempatkan di kediamannya di Larkin serta sebuah kafe di Jalan Tan Hiok Nee, Johor Bahru, dia mendapatkan naskah melalui pembelian pukal dan sumbangan orang ramai bagi memastikan harga kekal rendah.
“Tidak banyak kedai buku terpakai di Johor Bahru, saya mahu menjadikan buku mudah diakses oleh seramai mungkin orang,” katanya kepada StarMetro.
Khaleena berkata, pelanggan kafe tersebut boleh bebas menyemak rak buku dan membaca sambil menikmati kopi mereka.
“Kira-kira 70 peratus pelanggan saya ialah warga Singapura yang berkunjung ke Johor Bahru untuk aktiviti kafe-hopping.
“Ramai antara mereka cenderung memilih buku bukan fiksyen, manakala penduduk tempatan pula lebih menggemari fiksyen,” ujarnya.
Selain di kafe, Khaleena turut menjalankan program pertukaran buku percuma bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi meluaskan jangkauan inisiatif tersebut.
“Saya juga melakukan ini untuk menggalakkan orang ramai agar tidak membeli buku cetak rompak, kerana kegiatan cetak rompak mematikan industri dan menafikan usaha keras penulis,” jelas Khaleena.
Selain itu, dia juga lebih gemar memilih pakaian dan perabot terpakai berbanding membeli yang baharu kerana nilainya serta reka bentuk yang unik.
Di Taman Pulai Indah, Iskandar Puteri pula, satu inisiatif komuniti yang dikenali sebagai Kraf Hibiscus menggabungkan elemen penjimatan kos dengan kreativiti kitar semula.
Diterajui oleh pensyarah kanan Universiti Teknologi Malaysia serta penduduk setempat, Dr Norfhairna Baharulrazi, projek ini diinspirasikan oleh konsep kuru kuru (guna semula) dari Jepun.
Konsep berkenaan menekankan pengedaran semula barangan bagi meminimumkan pembaziran. Ia bermula pada Julai lalu dengan memberi tumpuan kepada pakaian seragam sekolah.
“Kami mengumpulkan pakaian seragam sekolah terpakai serta kelengkapan sekolah untuk diberikan secara percuma kepada mereka yang memerlukan.
“Kami kemudiannya memperluaskan inisiatif ini dengan merangkumi pakaian dewasa dan kanak-kanak, tudung serta pakaian tradisional,” jelas Norfhairna.
Menurutnya, sambutan yang diterima amat menggalakkan. Kira-kira satu tan pakaian berjaya dikumpulkan semasa kempen pertama kami pada Ogos lalu, dengan sekitar 700 kilogram diagihkan kepada komuniti.
“Pada kutipan kedua, pada November 2025, lebih dua tan pakaian berjaya dikumpulkan.
“Kami juga menganjurkan kempen kembali ke sekolah pada awal Januari.
“Kebanyakan daripada 500 kilogram barangan yang didermakan habis diambil dengan pantas ketika keluarga membuat persiapan untuk sesi persekolahan baharu,” ujarnya.

Suthan Dalinayodo.
Beliau menambah bahawa barangan yang tidak dituntut sama ada diolah semula atau dihantar kepada pengitar semula fabrik.
Inisiatif itu menukarkan pakaian lama kepada barangan praktikal seperti beg tote, uncang dan penanda buku.
Malahan, usaha itu digerakkan oleh pasukan teras yang terdiri daripada 10 orang wanita dari kawasan kejiranan, yang berkumpul setiap hari di pusat Rukun Tetangga untuk menjahit.
Norfhairna berkata, selain membantu meringankan perbelanjaan isi rumah, Kraf Hibiscus turut mewujudkan peluang pendapatan kepada suri rumah dengan menukar kemahiran menjahit kepada keusahawanan berskala kecil.
Sebahagian daripada hasil tersebut baru-baru ini digunakan sebagai cenderamata di sebuah acara di Kuala Lumpur
Projek ini disokong oleh geran komuniti rendah karbon Majlis Bandaraya Iskandar Puteri.
Dari sudut kewangan, inisiatif sebegini mencerminkan perubahan dalam cara isi rumah menangani peningkatan kos sara hidup.
Pensyarah kanan Fakulti Perniagaan dan Pengurusan, Kolej Universiti Selatan, Suthan Dalinayodo berkata, pembelian barangan terpakai membantu keluarga melindungi pendapatan boleh guna mereka.
“Apabila isi rumah berbelanja lebih sedikit untuk barangan seperti buku, pakaian atau perabot, mereka mempunyai lebih banyak wang untuk keperluan asas seperti makanan, utiliti dan pengangkutan.
“Membeli barangan terpakai tidak lagi dikaitkan dengan kesusahan. Ia mencerminkan kebijaksanaan kewangan dan daya tahan,” terangnya.
Tambahnya lagi, ia memanfaatkan setiap ringgit kini lebih berkaitan dengan kepraktisan, bukannya pengorbanan.
Suthan turut menyatakan bahawa penerimaan yang semakin meningkat terhadap barangan terpakai menandakan peralihan daripada penggunaan berasaskan status kepada keputusan berasaskan nilai.
“Memanjangkan kitar hayat barangan mewujudkan nilai ekonomi, alam sekitar dan sosial secara serentak,” katanya.
Nasihat Suthan kepada pengguna adalah mudah, persoalkan sama ada sesuatu barangan itu perlu baharu.
“Jika barangan tersebut hanya perlu berfungsi dengan baik, membeli barangan terpakai sememangnya sesuai dengan strategi pengurusan bajet yang lebih bijak,” katanya. — The Star/YEE XIANG YUN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
