Kanak-kanak dibiar kesunyian berisiko alami demensia ketika dewasa


  • Sihat
  • Selasa, 30 Dis 2025

Kesan paling teruk mungkin berlaku bertahun-tahun selepas ibu bapa meninggal dunia. — Gambar hiasan

 

SIAPA saja yang tidak risau jika ada dalam kalangan anak-anak yang bersikap tidak bergaul atau kurang berkomunikasi dengan orang lain.

Ibu bapa yang bimbang tentang anak yang sukar membuat kawan, menghadapi kesukaran berkomunikasi, atau nampak terlalu selesa bersendirian mempunyai alasan yang kukuh mempunyai perasaan seperti itu.

Malahan, ia bukan sahaja kerana kanak-kanak itu hidup berasingan pada awal kehidupan.

BACA LAGI: Ukay Hills estet lereng bukit kontemporari, penuhi permintaan dan keperluan gaya hidup moden

BACA LAGI: Carian Gen Z naik 25 peratus, anak muda bukan lagi sekadar ikut, kini jadi perancang percutian keluarga

 

 

Penyelidik mengatakan kesunyian zaman kanak-kanak dikaitkan dengan penurunan kognitif yang lebih cepat dan risiko kejadian demensia yang lebih tinggi ketika usia meningkat.

Sekumpulan doktor dari Australia, China dan Amerika Syarikat menemui bukti bahawa kesan kesepian pada awal kehidupan tidak terhad kepada zaman kanak-kanak.

Bahkan, kesannya yang paling teruk mungkin berlaku bertahun-tahun selepas ibu bapa meninggal dunia.

“Kesepian pada zaman kanak-kanak dikaitkan dengan penurunan kognitif yang lebih cepat dan risiko demensia yang lebih tinggi pada pertengahan dan usia lanjut.

“Hubungan ini kekal signifikan walaupun diambil kira kesepian pada dewasa dan terhad kepada peserta yang tidak mengalami kesepian ketika dewasa,” kata penyelidik dalam satu kertas kajian yang diterbitkan oleh Persatuan Perubatan Amerika (American Medical Association).

Malah jika seorang kanak-kanak yang kesepian membesar menjadi seorang dewasa yang peramah dan bersosial, mereka tetap lebih berisiko menghadapi masalah kognitif pada kemudian hari.

Berbanding mereka yang melaporkan tidak merasa kesepian semasa kanak-kanak.

Penemuan tersebut berdasarkan “kajian kohort” yang melibatkan data kira-kira 13,500 peserta dari 2011 hingga 2018.

Ia diambil dari Kajian Panjang Kesihatan dan Persaraan China (China Health and Retirement Longitudinal Study).

“Memandangkan kekurangan rawatan berkesan untuk mengubah perjalanan demensia pada masa ini, mengenal pasti faktor risiko awal yang boleh diubah untuk penurunan kognitif dan demensia adalah penting.

“Ia bagi membangunkan strategi pencegahan bagi mengurangkan beban penyakit yang semakin meningkat ini,” kata kumpulan penyelidik itu, sambil menekankan perlunya “intervensi” pada awal kehidupan untuk “mengurangkan” kemungkinan penurunan kognitif beberapa dekad kemudian.

“Penemuan ini mencadangkan bahawa kesepian pada zaman kanak-kanak mungkin berfungsi sebagai faktor risiko bebas untuk penurunan kognitif dan demensia pada usia lanjut,” ujar kumpulan penyelidik yang termasuk ahli dari Capital Medical University di Beijing, La Trobe University di Melbourne, Boston University School of Public Health, Harvard Medical School, Edith Cowan University dan Zhejiang University.

Maka, didiklah anak-anak untuk tidak malu bergaul dan menjadi individu yang ramah mesra dengan orang lain. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram