PULAU Pinang secara rasmi melancarkan galeri automotif antik pertama di wilayah utara. Ia merupakan sebuah projek bernilai RM6.1 juta yang terletak di bangunan bersejarah No. 57, Jalan Macalister.
Galeri ini meliputi hampir 0.2 hektar di tapak bekas Hospital Memorial King Edward, yang berkhidmat sebagai hospital bersalin pertama negeri itu dari tahun 1915 hingga 1955.
Galeri Automotif baharu tersebut dijangka menjadi mercu tanda budaya di bawah Lembaga Muzium Pulau Pinang.
BACA LAGI: Ukay Hills estet lereng bukit kontemporari, penuhi permintaan dan keperluan gaya hidup moden

Wong (kiri) melihat Kereta Perkahwinan Terbuka Victoria Sederhana yang dipamerkan di Galeri Automotif yang baru siap di George Town. Bersamanya ialah Haryana.
Ia akan mempamerkan koleksi unik kenderaan milik kerajaan negeri serta kereta kuda, sekali gus menonjolkan lebih satu abad sejarah Tanah Melayu.
Pameran yang paling dinantikan ialah sebuah Rolls Royce Silver Wraith keluaran 1951, kenderaan yang berkait rapat dengan perjalanan negara menuju kemerdekaan.
Kereta tersebut terkenal kerana penglibatannya dalam satu peristiwa penting semasa Darurat Tanah Melayu pada 6 Oktober 1951.
Ketika dalam perjalanan ke Bukit Fraser, Pesuruhjaya Tinggi British Sir Henry Gurney, isterinya dan setiausahanya telah diserang hendap oleh pengganas komunis.
Dalam satu tindakan berani untuk mengalihkan tembakan daripada isterinya, Gurney keluar dari kenderaan tersebut dan ditembak mati. Kereta itu ditembusi sebanyak 35 lubang peluru.
Selepas negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, kenderaan tersebut digunakan semula sebagai kereta rasmi negeri bagi Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang yang pertama, Raja Tun Uda Raja Muhammad.
Menurut pengarah muzium negeri, Haryany Mohamad, Rolls Royce itu akan dibawa ke Kuala Lumpur dalam masa terdekat untuk menjalani kerja pemulihan menyeluruh, bagi mengembalikannya ke keadaan asal sebelum dipamerkan kepada orang ramai.
Turut dipamerkan bersama Rolls Royce ialah sebuah Cadillac Fleetwood 75 keluaran 1967, sebuah limosin mewah seberat 2.4 tan yang dibeli oleh kerajaan negeri.
Ia bertujuan menggantikan Rolls Royce yang semakin uzur pada bulan-bulan terakhir perkhidmatan Raja Tun Uda.
Kenderaan itu kemudiannya digunakan sebagai pengangkutan rasmi Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang kedua, Tun Syed Sheh Shahabudin.
Fleetwood 75 melambangkan kemuncak kemewahan automotif lewat era 1960-an, dan penyertaannya dalam galeri berkenaan, menonjolkan peralihan pejabat Yang Dipertua Negeri ke era moden.
Selain mempamerkan kenderaan bermotor klasik, galeri juga akan menghargai sejarah berkuda Pulau Pinang, melalui koleksi enam buah kereta kuda yang didermakan oleh Kelab Turf Pulau Pinang.
Kereta-kereta kuda tersebut mewakili warisan yang bermula sejak 1864.
Jalan Macalister sendiri merupakan tapak litar perlumbaan asal sebelum ia dipindahkan ke Batu Gantong pada 1934.
Walaupun Kelab Turf Pulau Pinang menganjurkan perlumbaan terakhirnya pada Mei lalu selepas lebih 160 tahun beroperasi, kereta-kereta kuda ini melambangkan satu era lampau rekreasi dan sukan zaman kolonial.
Pengarah Jabatan Kerja Raya negeri, Datuk Ahmad Nadzri Abdul Majid, menyerahkan kemudahan yang telah siap itu kepada kerajaan negeri dalam satu majlis.
Ia turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang, Wong Hon Wai.
Wong mengumumkan bahawa galeri tersebut dijangka dibuka dalam tempoh beberapa bulan lagi, selepas kadar bayaran masuk dan pameran lain dimuktamadkan.
“Selain peranannya sebagai muzium, bangunan di Jalan Macalister ini akan berfungsi sebagai hab strategik bagi institusi kebudayaan negeri.
“Tahun depan, Galeri Seni Negeri Pulau Pinang akan berpindah sementara ke tapak ini sementara kerja naik taraf dijalankan di Dewan Sri Pinang.
“Galeri automotif ini merupakan tonggak utama visi Penang 2030, yang direka untuk melengkapi muzium utama negeri di Jalan Farquhar,” katanya.
Walaupun kerja pemulihan fasiliti di Jalan Farquhar berdepan beberapa kekangan termasuk penamatan kontraktor kerana gagal menepati jadual, kerajaan negeri kekal komited untuk menghidupkan semula aset warisan negeri.
“Penduduk dan pelancong digalakkan mengunjungi Galeri Automotif bagi mengalami sendiri artifak unik ini apabila ia dibuka secara rasmi,” ujar Wong.
Dalam ucapannya, Ahmad Nadzri berkata galeri tersebut siap 38 hari lebih awal daripada jadual.
Masih dalam peruntukan bajet yang ditetapkan, kerja pembinaan bermula pada Mac tahun lalu dan selesai pada 17 Disember. — The Star/BERNARD SEE
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
….…….
