WANITA kini dilihat semakin kuat, berani dan tegas ekoran penglibatan mereka dalam seni mempertahankan diri.
Penyertaan dalam aktiviti tersebut bukanlah sekadar menunjukkan kebolehan, akan tetapi ia disyorkan bagi memberi pelindungan diri jika berdepan dengan situasi yang berisiko atau mengancam diri.
Fenomena tersebut bukan saja di Malaysia, bahkan di luar negara sudah mula memberi perhatian tentang pembelajaran tersebut.
BACA LAGI: Bercita-cita bergelar angkasawan? Pastikan anda ikuti kursus kelangsungan hidup di laut

Kira-kira 150,000 orang mengamalkan karate di Iran merentasi semua jantina.
Sepertimana apabila wisel pengadil ditiup yang menandakan bermulanya perlawanan, dua kanak-kanak perempuan Iran berusia lima tahun, mempersembahkan satu perlawanan karate yang diperhatikan dengan penuh teliti.
Malah memukau mata penonton dan ini menjadi satu petanda perubahan sikap terhadap seni mempertahankan diri di negara itu, sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Kedua-dua lawan cilik itu, mengenakan pakaian karate putih bersih (karategi) dengan tali pinggang berwarna serta pelindung kepala. Bergerak lincah mengelilingi tatami, iaitu alas lantai yang digunakan untuk berlatih seni mempertahankan diri Jepun.
Pergerakannya tangkas dan terancang, setiap sepakan dan tangkisan dilakukan dengan tepat serta terkawal, disambut sorakan penonton yang semuanya wanita.
Pada tiupan wisel penamat, tiga minit kemudian, kedua-dua peserta berjabat tangan dan berpelukan.
Perlawanan itu merupakan sebahagian daripada kejohanan serantau tahunan yang menghimpunkan 230 peserta daripada pelbagai peringkat usia di Tehran.
“Sukan ini sama sekali tidak ganas kerana ia memupuk disiplin”, kata Samaneh Parsa, 44, seorang ibu yang telah mengamalkan karate selama lima tahun bersama anak perempuannya, Helma, dan anak lelakinya, Ilya.
“Saya melihat pengaruh positifnya terhadap tingkah laku kanak-kanak,” katanya.
Baginya, karate ialah cara untuk melepaskan emosi dan membawa ketenangan ketika berdepan tekanan, walaupun suatu ketika dahulu wanita di Iran dipandang serong jika mengamalkan sukan ini,” jelasnya.
Suatu ketika dahulu, semua seni mempertahankan diri pernah diharamkan sementara waktu untuk wanita selepas Revolusi Islam 1979.
Namun kemudiannya dibenarkan semula dengan peraturan kod pakaian yang lebih ketat.
Minda yang kuat
Dengan semakin ramai wanita menceburi karate, sukan berkenaan menjadi simbol kepada perubahan masyarakat Iran.
Generasi muda bandar secara senyap mencabar peranan jantina tradisional dan norma sosial.
Pada November lalu, atlet Iran, Atousa Golshadnezhad, memenangi satu lagi pingat emas di Sukan Solidariti Islam yang berlangsung di Arab Saudi.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, wanita di Iran semakin berani melangkaui batas sosial secara lebih meluas, termasuk mencabar peraturan ketat negara itu.
Ketua Kyokushin-Ryu Karate di Iran, Afshin Torkpour, turut menyedari perubahan tersebut, dengan menyatakan bahawa semakin ramai wanita beralih kepada sukan yang dahulunya dianggap ganas.
“Wanita yang mengamalkan sukan ini kini sama, malah sering kali lebih bermotivasi. Kira-kira 150,000 orang mengamalkan karate di Iran merentasi semua jantina,” kata Torkpour, yang menganggarkan jumlah sebenar mungkin jauh lebih tinggi, sehingga mencecah dua juta orang.
Bahakn menambah bahawa mereka membentuk “minda yang kuat”.
Pada Kejohanan Asia, pasukan kebangsaan wanita remaja bawah 21 tahun memenangi 11 pingat, termasuk enam pingat emas.
Pada 2020, dua atlet karate Iran menyertai Sukan Olimpik Tokyo di Jepun, namun tidak berjaya memenangi sebarang pingat.
Bagi Azam Ahmadi, seorang wanita dalam lingkungan usia 30an yang telah mengamalkan sukan ini sejak berusia 12 tahun, karate mengajar kemahiran hidup yang penting.
“Jika anda jatuh, anda perlu bangkit semula, teruskan perjuangan dan jangan sesekali berputus asa,” ujarnya. —The Star
Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram
