SAMA ada di Gunung Kilimanjaro di Tanzania, di Banjaran Andes di Amerika Selatan, di Himalaya, Asia atau di tempat lain, aktiviti pendakian gunung mampu memberikan pengalaman yang sukar dilupakan.
Namun begitu, ia turut disertai satu risiko yang sering dipandang remeh, iaitu penyakit altitud.
Pakar memberi amaran bahawa pendakian yang dilakukan terlalu cepat boleh menyebabkan masalah kesihatan yang serius.
BACA LAGI: Nak berlari tidur kena cukup, kalau tidak risiko cedera lebih parah
BACA LAGI: Sabah bina laluan pertama di Malaysia guna sisa lautan, jadi tarikan terbaharu Pulau Gaya

Perancangan yang teliti dan pendakian yang perlahan, pendaki boleh mengelakkan penyakit ketinggian yang paling teruk.
Pengarah Saintifik Pusat Perubatan Pelancongan Jerman (CRM), Dr Tomas Jelinek berkata, risiko untuk mengalami penyakit altitud meningkat dengan ketara pada ketinggian sekitar 2,500 meter.
Antara simptom yang biasa dialami termasuk sakit kepala, loya, keletihan dan pening. Bergantung kepada kawasan, jumlah pendaki yang terjejas boleh menjadi agak tinggi.
Menurut beliau, sehingga 21 peratus pendaki mengalami simptom di kawasan pergunungan tinggi Nepal, manakala antara 45 hingga 75 peratus di Gunung Kilimanjaro.
“Penyakit altitud adalah masalah serius tetapi sebenarnya boleh dielakkan,” kata Jelinek, yang menjelaskan puncanya ialah paras oksigen yang lebih rendah dalam udara persekitaran.
Pada ketinggian 5,000 meter, paras oksigen hanyalah kira-kira separuh daripada paras di aras laut.
“Cara paling berkesan untuk mencegahnya ialah dengan mengambil langkah berjaga-jaga,” ujarnya.
Beliau mengesyorkan agar pendaki merancang perjalanan pendakian dengan teliti, mendapatkan nasihat perubatan pelancongan sebelum berlepas, serta menilai pakej pendakian yang ditempah secara kritikal.
Ini termasuk mengambil kira profil pendakian yang ditawarkan, bagi membantu tubuh menyesuaikan diri dengan paras oksigen yang lebih rendah, adalah baik untuk membuat latihan pendakian harian di altitud tinggi.
Jangan terlupa dengan syarat tidur yang mencukupi di altitud yang lebih rendah selepas itu. Dalam erti kata lain, berlatih di tempat tinggi, tidur di tempat rendah.
Tips yang dikongsikan bagi mereka yang ingin mendaki tempat yang tinggi adalah rehat selama sehari selepas setiap kenaikan ketinggian sebanyak 1,000 meter.
Bermula pada altitud 2,500 meter, ketinggian tempat tidur tidak seharusnya meningkat lebih daripada 300 hingga 600 meter sehari.
Pastikan juga pengambilan cecair mencukupi, kerana dehidrasi boleh memburukkan simptom penyakit altitud.
Menurut, Institut Kesihatan Antarabangsa di Hospital Universiti Charité di Berlin, peningkatan kadar pernafasan dan degupan jantung adalah tindak balas normal.
Ia bagi menjalankan proses penyesuaian diri terhadap pendakian gunung dan tidak mempunyai kepentingan patologi.
Pakar di institusi itu menyatakan tanda-tanda peringkat awal penyakit altitud termasuk sakit kepala, loya dan muntah, keletihan, hilang selera makan, pening serta kesukaran tidur.
Sekiranya anda mengalami simptom seperti sakit kepala atau pening, yang biasanya muncul enam hingga 12 jam selepas pendakian pantas pada altitud melebihi 2,000 meter, hentikan expedisi tersebut dengan segara,
Simptom tersebut lazimnya akan hilang dalam tempoh satu hingga tiga hari. Sekiranya simptom tidak reda, atau keadaan anda semakin teruk, anda perlu segera turun ke altitud yang lebih rendah.
Menurut pakar kesihatan, simptom biasanya akan berkurangan selepas penurunan ketinggian antara 500 hingga 1,000 meter.
Dalam kes yang teruk, bantuan perubatan perlu diberikan sekiranya boleh. Pengangkutan ke altitud yang lebih rendah adalah sangat penting.
Dalam keadaan paling buruk, penyakit altitud boleh mengancam nyawa, menyebabkan paru-paru dipenuhi cecair atau otak mengalami bengkak.
Pakar juga menjelaskan bahawa ubat-ubatan tertentu, seperti acetazolamide dan dexamethasone, boleh membantu mencegah simptom penyakit altitud. Kedua-duanya hanya boleh diperoleh melalui preskripsi doktor. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
