Pulau Pinang-Sabah-Johor antara 5 lokasi pilihan, tinjauan mendapati rakyat Malaysia pilih bercuti di negara sendiri


  • Nomad
  • Khamis, 18 Dis 2025

Rakyat Malaysia juga didapati tidak mengambil masa terlalu lama untuk mempertimbangkan pilihan penginapan.

 

 

TAHUN 2025 sudah hampir melabuhkan tirai, sudahkan anda mula merancang percutian untuk tahun hadapan?

Malaysia merupakan negara yang menawarkan pelbagai lokasi dan jenis percutian yang patut kita banggakan. Jadi, pastikan anda memasukkan sebanyak mungkin destinasi domestik dalam jadual perjalanan anda.

Sudah tentu, ia adalah sebahagian daripada kempen Visit Malaysia 2026 yang menyasarkan kehadiran 47 juta pelawat antarabangsa.

Namun begitu, anda berkemungkinan memperoleh nilai yang lebih berbaloi sekiranya melancong dalam negara pada 2026 yang dijangkakan lebih banyak diskaun dan kadar istimewa.

Malahan mungkin juga tawaran tambahan percuma daripada perniagaan berkaitan pelancongan seperti syarikat penerbangan, hotel, taman tema dan sebagainya.

Menurut data daripada Trip.Best, pelancongan domestik di Malaysia menunjukkan peningkatan tahun ini, dengan pertumbuhan 28 peratus tahun ke tahun.

BACA LAGI: Preskripsi alam semula jadi 'ubat' mujarab atasi tekanan darah, hormon stres dan tingkatkan imuniti

BACA LAGI: Bina legasi pelumba profesional, 4 pemandu pertama KRA hangatkan Skilldrvn Swift Professional Series 2026

 

 

Bangunan ikonik dan kebanggan negeri Sarawak.

“Ia merujuk kepada senarai cadangan pelancongan terpilih yang digerakkan oleh kecerdasan buatan (AI) dan kepakaran manusia”, maklum Trip.com berdasarkan kenyataan rasminya.

Panduan tersebut menyenaraikan destinasi, hotel, tarikan pelancongan, restoran dan banyak lagi yang terbaik di seluruh dunia berdasarkan ulasan pengguna sebenar, data tempahan serta semakan kualiti.

Tahun ini, Kuala Lumpur, Sabah, Pulau Pinang, Johor dan Sarawak disenaraikan sebagai destinasi pilihan di Malaysia untuk pelancongan domestik.

Trip.Best baru-baru ini turut mendedahkan trend dan senarai pelancongan Asia Tenggara semasa satu jelajah promosi di Resorts World Sentosa, Singapura.

Berdasarkan pembentangan tersebut, Malaysia juga merupakan destinasi utama bagi pelancong serantau, dengan tetamu dari China yang mencatatkan jumlah ketibaan tertinggi.

Pasaran utama lain bagi pelancongan masuk ke Malaysia termasuk Singapura, Indonesia, Thailand, Vietnam dan Kemboja.

Di seluruh Asia Tenggara, semakin ramai pelancong memilih untuk bercuti di destinasi Asia Timur, termasuk bandar-bandar utama China seperti Shanghai, Chengdu dan Chongqing yang semakin mendapat perhatian sejak awal tahun ini.

Chongqing khususnya merupakan pilihan kegemaran di peringkat serantau dan menjadi destinasi luar negara dengan pertumbuhan terpantas bagi pasaran Malaysia.

 

 

Kota Kinabalu terkenal dengan keindahan matahari terbenamnya.

 

Data menunjukkan bandar itu mencatatkan peningkatan tontonan oleh Trip.Best iaitu sebanyak 448 peratus dari tahun ke tahun, selain lonjakan tempahan yang mencecah 599 peratus.

Tidak dinafikan, hantaran tular di media sosial yang memaparkan landskap bandar “cyberpunk” yang indah dengan struktur bertingkat dan berlapis-lapis juga, menyumbang kepada peningkatan angka tersebut.

Antara dapatan lain berkaitan Malaysia yang dibentangkan pada acara itu termasuk peningkatan carian dalam talian bagi aktiviti keluarga sebanyak 35 peratus berbanding tahun lalu.

Sekali gus menandakan pertumbuhan dalam pelancongan keluarga. Tempahan hotel hujung minggu yang menawarkan aktiviti kanak-kanak, meningkat sebanyak 28 peratus.

Secara umum, pelancong Malaysia lebih cenderung memilih hotel mesra keluarga, diikuti hotel yang menawarkan pemandangan indah serta hotel yang Instagrammable atau OOTD.

Rakyat Malaysia juga didapati tidak mengambil masa terlalu lama untuk mempertimbangkan pilihan penginapan, dengan kebanyakan mereka hanya memerlukan empat hari sebelum membuat tempahan.

Purata di Asia Tenggara ialah enam hari manakala pelancong Singapura mengambil masa tujuh hari untuk membuat keputusan diikuti pelancong Thailand enam hari.

Pelancongan berasaskan pengalaman merupakan trend terbesar di rantau ini, dengan carian aktiviti meningkat sebanyak 808 peratus berbanding tahun lalu.

Dari segi jenis destinasi, carian untuk tarikan percutian beriklim sejuk melonjak sebanyak 1,941 peratus di seluruh Asia Tenggara tahun ini.

Menurut Pengarah Serantau Kanan Trip.com bagi Asia Tenggara, Edmund Ong, perubahan dinamik jelas dapat dilihat dalam tingkah laku pengguna di seluruh rantau ini.

“Orang ramai kini lebih berorientasikan pengalaman, merancang secara aktif dan mencari perjalanan yang autentik serta mendalam.

“Perjalanan semakin dilihat sebagai satu cara untuk merapatkan hubungan kekeluargaan, khususnya melalui percutian singkat,” ujar Ong.

Dalam satu temu bual, Ong mendedahkan bahawa walaupun Kuala Lumpur masih menjadi tarikan utama pelancong antarabangsa.

Ini termasuk negeri seperti Sabah dan Sarawak semakin mendapat perhatian, terutamanya bagi pelancongan domestik.

“Inilah trend yang kami lihat selepas pandemik. Saya fikir orang ramai kini mula melihat melangkaui destinasi pelancongan popular semata-mata dan meneroka tempat lain seperti Kota Kinabalu (Sabah).

“Kami juga mengenal pasti bahawa pelancongan ‘intra-ASEAN’ merupakan trend yang berkembang pesat, saya boleh katakan sejak pertengahan 2024. Pelancong di Asia Tenggara kini saling mengunjungi negara masing-masing, dan ini sangat baik untuk industri pelancongan serantau secara keseluruhan,” ujarnya.

“Dengan momentum yang semakin meningkat menjelang Visit Malaysia 2026, Malaysia terus menjadi pasaran pertumbuhan utama bagi Trip.com.

“Kami komited untuk mengetengahkan kepelbagaian tawaran pelancongan negara ini menerusi ciri seperti Trip.Best,” jelasnya. — The Star/ MELODY L. GOH 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram