SEJAK kebelakangan ini, 2025 menyaksikan pameran karya seni yang cukup banyak dan hebat.
Ia memperlihatkan kebangkitan artis-artis bukan sahaja dari tempatan, malah sokongan dari luar negara turut menunjukkan betapa besarnya nilai sesebuah seni itu.
Mungkin segelintir masyarakat bersifat prasangka dengan dunia kreatif itu, namun ramai di antara kita mula memahami karya-karya yang dihasilkan bukan suatu perkara yang kecil setelah hadir ke pameran-pameran yang diadakan.
BACA LAGI: Bercita-cita bergelar angkasawan? Pastikan anda ikuti kursus kelangsungan hidup di laut

'Apabila Matahari Terbit' karya Subin Muangchan.
Dari segi bentuk, warna dan rupa, setiap sudut mempunyai nilai yang tersendiri. Penerokaan warna sebagai unsur emosi dan atmosfera yang penting dalam seni lukisan kontemporari kini dipamerkan di Kuala Lumpur.
Pameran bertajuk “The Blessings of Colour” menampilkan 11 orang artis dari enam negara. Mereka adalah Herman Wong dan Koh Teng Huat (Malaysia), Subin Muangchan dan Maneerat Srikampa (Thailand), M. Myo Kyaw, Mor Mor dan Nila Sann dan Ye Naing Tun (Myanmar).
Diikuti Dr Remon Samuel (Mesir), Nanang Widjaya (Indonesia) serta Natalia Peraita (Sepanyol).
Pameran tersebut berlangsung di Younie Gallery, No 1, Jalan Telok Batu, Taman Seputeh, dari pukul 11 pagi hingga 7 malam sehingga 28 Disember, dan ia memberi peluang ke semua lapisan masyarakat untuk hadir ke sini kerana masuk adalah percuma dengan janji temu.
Dalam satu kenyataan, galeri berkenaan berkata pemilihan masa penganjuran pada bulan Disember dibuat secara sengaja.
“Walaupun tidak terikat dengan sebarang naratif keagamaan, ‘The Blessings of Colour’ selari dengan suasana musim Krismas yang lebih luas, iaitu tempoh yang melambangkan kehangatan, kemurahan hati dan renungan.
“Keamatan kromatik karya semua artis mencerminkan sentimen ini melalui rona yang berseri, kontras bercahaya dan komposisi dinamik yang menyampaikan rasa keceriaan, kelimpahan serta semangat kemanusiaan sejagat.
“Dalam konteks ini, karya-karya seni membawa semangat memberi – hasil seni yang boleh diterima, dihadiahkan dan dinikmati dalam kehidupan seharian,” ujar pihak galeri.
Menurut kurator, Younie Wong, karya artis menggabungkan warna dan teknik, menenun kepelbagaian budaya menjadi satu hamparan yang hidup dan bertenaga.
“Daripada pertemuan ini lahir satu rasa kekaguman dan keharmonian yang mendalam, mengalir keluar seperti sungai muhibah,” katanya.
Maka, rancang perjalanan akhir tahun anda dan apa kata ambil peluang untuk singgah meneroka dunia seni tersebut.
Untuk membuat janji temu, hubungi 019-215 9878 (Wong) atau WhatsApp 011-1663 7338 (Sabrina). —The Star
Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram
