KEBANYAKAN masyarakat Malaysia pasti mengenali makanan Jepun yang dipanggil sushi dan ramai juga di antara kita yang gemarkan makanan tersebut.
Buat peminat sushi dan mereka yang ingin tahu tentang makanan itu dengan lebih mendalam, pameran bergerak I Love Sushi anjuran The Japan Foundation kini diadakan di galeri Ur-Mu, Kuala Lumpur sehingga 31 Disember 2025.
Pameran unik yang ditaja Sushi Hibiki itu disambut dengan replika tuna sirip biru Lautan Pasifik di pintu masuk, memberi peluang kepada penggemar dan penggiat sejarah untuk meneroka masakan ikonik Jepun itu sebagai sebuah seni dalam makanan.
BACA LAGI: Genting Highland syurga flora, taman botani terbesar Eufloria tarik pengunjung menjelang TMM 2026

150 contoh sushi dipamerkan dalam pelbagai jenis dan bentuk dipameran.
Menurut Duta Besar Jepun ke Malaysia, Shikata Noriyuki, acara tersebut menjadi satu kaedah pertukaran budaya melalui sebuah makanan di meja makan.
Beliau percaya bahawa mengenali makanan dalam bentuk dua hala itu adalah salah satu cara paling menyeronokkan dan bermakna untuk mengeratkan jalinan persahabatan antara Jepun dan Malaysia
“Melalui inisiatif ini, kami berharap dapat memberikan lebih ramai rakyat Malaysia peluang bukan sahaja untuk menikmati rasa sushi, tetapi juga menghargai nilai di sebaliknya. Rasa hormat terhadap alam, ketelitian, dan kegembiraan berkongsi hidangan,” katanya.
Pameran I Love Sushi di sini adalah sebahagian daripada jelajah dunia selama 10 tahun yang bermula pada 2022, dan bukan sahaja menampilkan warisan kulinari, tetapi turut mengajak pengunjung merenung isu kelestarian makanan.
Lebih daripada sekadar makanan
I Love Sushi merupakan pameran seni kulinari berkonsep washoku, iaitu masakan Jepun yang diiktiraf sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara UNESCO pada 2013.
“Dengan sushi kini hampir sama popular di luar negara seperti di Jepun, pameran ini untuk buka peluang meneroka pelbagai aspek menarik tentang genre dan juga memberikan sedikit gambaran tentang sejarah serta budaya Jepun yang menyumbang kepada evolusi sushi,” ujar Pengarah Program Eksekutif The Japan Foundation, Ito Masanobu di nota pameran.
Melalui pameran itu, pengunjung dapat melihat bagaimana sushi berevolusi daripada narezushi, bentuk terawal sushi yang terdiri daripada ikan yang diperam dengan garam dan nasi fermentasi, sehingga menjadi fenomena kulinari global pada hari ini.
Ia diwujudkan melalui visual yang menarik, video, paparan interaktif dan tentunya “sanpuru”, replika makanan plastik yang terkenal turut disiarkan.
Pameran ini menyusuri perjalanan yang terbahagi kepada beberapa bahagian iaitu meneroka bentuk awal sushi, perkembangannya menjadi nigirizushi pada zaman Edo, budaya sushi moden yang terus menginspirasikan cef dan penggemar makanan di seluruh dunia.
Bagi peminat sejarah dan seni, penganjur menampilkan sushi dalam karya ukiyo-e atau cetakan blok kayu Jepun, serta replika gulungan lukisan yang memperincikan proses pembuatan sushi era Edo.
Turut ditayangkan drama seram, kabuki zaman Edo, Yoshitsune And The Thousand Cherry Trees, yang mengisahkan cerita rakyat tentang seorang tukang sushi, yang menyembunyikan kepala terpenggal dalam baldi kayu untuk proses pemeraman sushi.
Jangan lepaskan peluang juga untuk bergambar di lokasi kerana terdapat sudut yang memaparkan paparan 150 jenis sushi di sana.
Sebuah instalasi restoran kaiten sushi pula menampilkan kisah menu itu yang dihidangkan di atas tali sawat. Ia adalah satu konsep menjamu selera yang bermula di Osaka dan tersebar luas di seluruh Jepun pada 1960an.
Sekali gus membawa sushi kembali menjadi makanan untuk masyarakat umum.
Pengunjung juga boleh menikmati pengalaman kedai sushi dalam bentuk realiti maya.
Ia dirakam dengan kerjasama Kizushi, sebuah restoran sushi Tokyo yang lama bertapak dan masih meneruskan tradisi Yohei Sushi (sushi gaya Tokyo).
Ini termasuk tayangan video ilmiah yang memperincikan kemahiran dan seni di sebalik tradisi kulinari Jepun yang digemari ramai.

Pengeluaran semula 'Genji Mitate Cherry Blossom Banquet' (1855), cetakan kayu ukiyo-e Jepun oleh Utagawa Kunisada.
Kehidupan dalam dunia sushi
Pada majlis pembukaan pameran baru-baru ini, tetamu berpeluang mendengar sesi perkongsian cerita bersama chef Makoto Saito Sam dari Sushi Hibiki di Four Seasons KL dan Sakana Japanese Dining di Suria KLCC.
Mereka turut mendemonstrasikan secara eksklusif pembuatan sushi.
Menurut Duta Muhibah Masakan Jepun, Makoto,48, kaunter di restoran sushi adalah ruang makan yang unik.
“Di kaunter sushi, kita semua adalah sama. Warganegara, agama, kedudukan sosial, sama ada lelaki atau wanita, semuanya tidak penting.
“Sebagai tukang sushi, saya rasa penting untuk mewujudkan keharmonian antara diri kita dan para tetamu.
“Salah satu perkara paling penting ialah personaliti anda, kerana kami menyajikan makanan menggunakan tangan kosong.
“Walaupun sushi yang anda buat kelihatan cantik, jika sikap anda buruk, rasanya tidak akan sama. Anda perlu mempunyai pesona serta kemampuan untuk mewujudkan suasana harmoni supaya pelanggan benar-benar menikmati makanan yang anda sediakan,” ujarnya.

Chef Makoto Saito Sam.
Makoto turut berkongsi beberapa fakta sejarah menarik tentang sushi, misalnya asal usul makanan tersebut sebagai makanan jalanan atau snek.
“Di Jepun, kami tidak mengatakan bahawa kami ‘makan’ sushi. Kami gunakan perkataan ‘tsumamu’, yang bermaksud ‘mencubit’ sesuatu dengan jari atau penyepit.
Dahulunya tiada istilah hidangan omakase, jadi pelanggan akan menunjuk satu per satu potongan sushi yang mereka mahu daripada apa yang tersedia.
“Satu cerita lucu anda tahu bagaimana restoran Jepun mempunyai langsir di pintu masuk? Selepas makan sushi, pelanggan akan mengelap tangan mereka pada langsir itu.
“Jadi jika langsir restoran itu kotor, itu bermakna sushi mereka sedap. Sudah tentu, zaman sekarang, tolong jangan buat begitu!” katanya sambil ketawa.
Buat makluman, selepas ini pameran I Love Sushi akan diteruskan ke muzium di Kuala Terengganu, Terengganu dan Kota Kinabalu, Sabah selepas ini. —The Star/ HANIS MAKETAB
Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
