APABILA malam menjelma, Esplanade Linear Park, laluan berturap di pulau Pinang hidup dengan percikan warna-warni cahaya yang bertenaga.
Setiap langkah mencetuskan animasi yang bergerak daripada gelombang pancaran bunga yang berubah bentuk, seperti berada dalam alam yang penuh dengan keajaiban.
Taman tersebut menjadi fenomena dan pengalaman baharu Laser Interactive Projector dengan Motion Sensor yang dipasang oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Pelancaran sistem sensor gerakan itu dihadiri Rajendran (dari dua kanan), H'ng dan pegawai negeri yang lain.
Dibuka dari pukul 7.30 malam hingga 1 pagi setiap hari, lokasi tersebut tular di media sosial dengan menampilkan 70 video animasi. Masing-masing berdurasi kira-kira tiga minit dan diputar secara berulang.
Video animasi yang dipancarkan daripada 25 projektor yang dipasang pada tiang di sepanjang laluan sejauh 142 meter dari medan selera lama Medan Renong ke The Cenotaph War Memorial.
Sensor tersebut mampu mengesan gerakan setiap pengunjung dan mencetuskan perubahan dalam animasi berdefinisi tinggi, menjadikan laluan itu seperti kanvas dinamik.
Bahkan, bunyi latar yang selaras dengan tema visual turut dicipta dan animasi berkenaan mungkin berubah semasa musim perayaan nanti.
Pengerusi jawatankuasa kerajaan tempatan, perancangan bandar dan luar bandar negeri, Jason H’ng Mooi Lye, berkata pemasangan sistem bernilai RM476,530 itu mengambil masa dua bulan.
Ia melengkapi paparan cahaya hiasan lain di Tugu Air Koh Seang Tat berhampiran Dewan Bandaraya, serta pada pokok-pokok di sepanjang Light Street.
Pencahayaan serupa juga dipasang di hadapan kediaman Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, di sepanjang Jalan Macalister dan Jalan Mahsuri, bermula dari 2023.
“Matlamat elemen tersebut dicipta adalah untuk menghidupkan ruang awam, terutamanya di tempat menarik seperti Esplanade bagi meningkatkan pelancongan menjelang Visit Malaysia 2026.
“Projektor laser ini biasanya digunakan oleh kedai dan kafe untuk menarik pelanggan masuk. Di sini, kami memutuskan untuk memanfaatkan teknologi ini bagi mencipta tarikan pelancongan baru.
“Ia sesuatu yang benar-benar baharu untuk Pulau Pinang dan melengkapkan naik taraf tembok laut baru-baru ini,” kata H’ng kepada pemberita semasa pelancarannya.
Datuk Bandar Pulau Pinang, Datuk A. Rajendran berkata, tapak tersebut telah menerima ramai pengunjung.
“Kami percaya kami telah mencipta ruang di mana keluarga boleh datang, bersantai dan menikmati suasana,” ujarnya sambil menambah kanak-kanak terutama sangat menyukai ciri-ciri tersebut.
Antara pengunjung yang menikmati pengalaman ini ialah Adi Roslan dan Anis Ridzuan, masing-masing berusia 36, bersama dua anak mereka, Hananairaa, 6 tahun dan Hanimafyaa, 4 tahun.
Adi, seorang kurier e-dagang berkata, keluarga mereka mengunjungi Esplanade sekurang-kurangnya sekali sebulan dan pertunjukan laser itu merupakan peningkatan yang menarik.
“Kami melihat orang lain memuat naik tentangnya di media sosial dan tahu anak-anak kami pasti menyukainya.
"Mereka sangat seronok dan kami merakam banyak gambar sebagai kenangan.
“Saya rasa saya belum pernah melihat sesuatu yang seperti ini di Malaysia,” ujarnya.
Usahawan, Jolyn Kong, 27, berkata, aspek interaktif animasi itu adalah sesuatu yang sangat menarik.
“Saya suka bagaimana lampu-lampu itu bertindak balas terhadap anda. Bukan sekadar melihat lampu, tetapi anda akan dipengaruhi paparan yang dipancarkan itu.
“Ini menjadikannya seronok walaupun untuk orang dewasa. Pulau Pinang benar-benar mempunyai cara kreatif untuk menjadikan tempat yang biasa ini berwajah bahru semula,” tambah Kong.— The Star/JEREMY TAN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
