KEMUDAHAN lama Bandar Tun Razak bakal diganti dengan kompleks bertaraf antarabangsa bernilai RM50 juta.
Selepas bertahun-tahun mengalami kerosakan dan penutupan sementara, penantian Kompleks Renang Kuala Lumpur kini bakal ditamatkan.
Kemudahan yang sudah berusia 40 tahun di Bandar Tun Razak akan dibina semula, dalam tempoh lima tahun sebelum penduduk dan masyarakat setempat boleh kembali berenang di situ.
BACA LAGI: Apa yang berlaku jika tak ikut arahan kru kabin, terutamanya berbaring ketika kapal terbang mendarat
BACA LAGI: Sekian 'Sakit lutut sudah haus?', amalkan senaman aerobik seperti berjalan, berbasikal atau berenang
Keadaan kemudahan kolam renang ini semakin merosot.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengesahkan bahawa kemudahan yang terletak berhampiran Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur itu, akan dirobohkan dan digantikan dengan kompleks akuatik bertaraf antarabangsa.
Pembinaan dijadualkan bermula pada Disember 2026, dengan penyiapan dijangka menjelang 2030.
Dalam kenyataan kepada StarMetro, DBKL berkata, seluruh struktur yang akan dibina merangkumi kolam pertandingan, kolam terjun dan kolam kanak-kanak.
Ia berasas pelan pembangunan semula bernilai RM50 juta yang diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di bawah Belanjawan 2026.
Kini, kolam pertandingan utama itu berukuran 50 meter (m) x 21m dengan lapan lorong dan kedalaman antara 1.5m hingga 1.8m.
Kolam terjun pula berukuran 21 meter panjang, 31.2m lebar dan 5m dalam, manakala kolam kanak-kanak mempunyai kedalaman antara 0.3m hingga 0.6m.
“Di bawah pelan pembangunan semula, ketiga-tiga kolam akan dibina semula mengikut standard antarabangsa, dengan dua lorong tambahan ditambah pada kolam pertandingan untuk meningkatkan kapasiti bagi menganjurkan acara sukan utama.
“Pada masa yang sama, keseluruhan kompleks akan mengalami naik taraf besar termasuk gimnasium, bilik persalinan, tandas, pejabat, kafeteria, kawasan media dan tempat duduk penonton,” menurut kenyataan DBKL.
DBKL berkata beberapa kajian teknikal awal, termasuk penyelidikan struktur, mekanikal, elektrik dan tanah telah diselesaikan dan dibentangkan pada Januari tahun ini.
Sebelum ini dilaporkan bahawa kemudahan sukan itu menghadapi kerosakan yang teruk akibat masalah mekanikal dan elektrik termasuk pernah ditutup beberapa kali.
Semasa lawatan dibuat StarMetro mendapati kolam pertandingan 50m dipenuhi air hijau yang bertakung.
Jubin retak ditepinya dan kesan karat jelas pada platform terjun serta laluan pejalan kaki.
Sepanjang dek kolam, pagar yang pudar dan cat yang mengelupas menunjukkan tanda-tanda pengabaian sejak bertahun-tahun.
Permukaan kolam kanak-kanak di sebalik dinding kelabu pula dipenuhi dengan alga.
Rumpai tumbuh melalui celah-celah antara papan konkrit dan tempat duduk penonton plastik juga menunjukkan tompok hitam akibat kerana lama tidak digunakan.
Seorang pengawal keselamatan (enggan didedahkan nama), berkata, lokasi itu mengalami penutupan berselang-seli sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semasa pandemik Covid-19 sebelum dibuka semula sementara untuk orang ramai.
Bagi pengguna lama, pengumuman ini memberikan sedikit sinar.
“Saya menyambut baik pengumuman bahawa kompleks ini akan dibangunkan semula.
“Sebagai seseorang yang telah menggunakan kemudahan ini berkali-kali, saya telah melihat keadaannya merosot secara berperingkat. Jadi sudah tiba masanya untuk naik taraf,” kata seorang penduduk Cheras bernama Hui Zen Han.

Dibina pada 1984 seiring dengan pembinaan Stadium Bola Sepak Cheras, kolam ini tidak pernah melalui sebarang pengubahsuaian besar.
Seorang pengunjung tetap lain, Agenia Lim, mengimbau bagaimana kolam itu telah lama menjadi tempat pembelajaran bagi kanak-kanak tempatan.
“Tempat ini telah menjadi lokasi di mana anak-anak saya belajar berenang daripada pengajar berdedikasi sejak mereka kecil.
“Sudah tentu amat baik jika mereka dapat terus menikmati kemudahan ini apabila ia dibuka semula,” ujarnya.
Kebimbangan mengenai keadaan kolam yang semakin merosot timbul pada Ogos 2023, apabila pengguna menekankan jubin yang pecah, struktur yang uzur dan kemudahan yang tidak lagi selamat untuk kegunaan awam.
Pada 12 Oktober 2023, StarMetro dalam laporannya bertajuk 'Kompleks sukan KL, kolam awam masih ditutup untuk naik taraf' menekankan bahawa kerja naik taraf akan dijalankan.
Dibina pada 1984 seiring dengan pembinaan Stadium Bola Sepak Cheras, kolam ini tidak pernah melalui sebarang pengubahsuaian besar.
Memandangkan keadaan semakin merosot, DBKL kemudian mengehadkan kemudahan ini kepada latihan Sukan Malaysia (SUKMA) sahaja, kerana jubin retak dan kerosakan struktur telah mencederakan pengguna.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, dan setiausaha politik Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Azman Abidin, telah membuat lawatan tapak tahun lalu.
Lawatan mereka mendedahkan bahawa kemerosotan adalah lebih teruk daripada yang dijangkakan.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif melawat kompleks itu pada bulan Januari untuk menilai keadaan kemudahan.
Lawatan beliau tertumpu kepada mengenal pasti kawasan yang memerlukan naik taraf bagi memastikan kompleks itu terus memenuhi keperluan komuniti.
DBKL telah menugaskan Jabatan Budaya, Seni, Pelancongan dan Sukan serta Jabatan Pelaksanaan Projek untuk menyediakan kertas kerja yang menghuraikan beberapa pilihan, termasuk naik taraf sepenuhnya kompleks tersebut.
Pegawainya berkata, membaiki kemudahan berusia 40 tahun mungkin menelan kos hampir sama seperti membina kemudahan baharu.
Naik taraf kolam lain
Kompleks Sukan Bangsar, yang telah ditutup selama beberapa tahun itu juga sedang menjalani naik taraf kolam renang bernilai RM3.5 juta, dibiayai daripada peruntukan dalaman DBKL.
Kerja-kerja ini termasuk meningkatkan kolam dewasa dan kanak-kanak, menaik taraf sistem peredaran air, membaiki longkang serta menggantikan lampu dengan LED.
Sebuah bilik stor baharu, kaunter tiket mesra OKU dan tempat duduk bertutup untuk penonton juga sedang dibina.
Projek ini, yang mengekalkan kedalaman kolam sedia ada antara 0.9m hingga 1.5m, dijangka siap menjelang Mac 2026.
Sehingga kini, kemajuan fizikal berada pada 34.56 peratus berbanding jadual yang ditetapkan sebanyak 49.66 peratus.
DBKL berkata tumpuan kini merujuk kepada penyelarasan tapak dan pengoptimuman kerja bagi memastikan projek berjalan mengikut jadual.
“Kedua-dua projek ini mencerminkan komitmen DBKL untuk meningkatkan kemudahan sukan awam di Kuala Lumpur.
Malah, memastikan ia kekal relevan, selamat dan selaras dengan usaha mempromosikan gaya hidup sihat dan inklusif,” menurut kenyataan itu.— The Star/BAVANI M
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram

