Tali lama cecah nilai jutaan ringgit, artis Britain jadikan bahan buangan sebagai karya seni


  • Hobi
  • Sabtu, 15 Nov 2025

Sumber yang digunakan adalah tali-tali terpakai daripada nelayan dan pusat aktiviti memanjat di seluruh Britain.

PEMAHANAN nilai sesebuah karya dalam dunia seni bukanlah sesuatu yang mudah untuk diramalkan setiap kali ia dihasilkan.

Dalam erti kata lain, selagi tidak buka minda dan masuk ke dalam dunia tersebut, anda pasti tidak akan faham apakah yang cuba disampaikan oleh artis-artis ini.

Namun, setiap kehalusan seni yang ditampilkan tidak bermakna tiada nilainya. Ada harga yang dijual atau dibeli oleh peminatnya mampu mencecah jutaan ringgit.

BACA LAGI: Trend baharu pelancongan ekstrem, 'check out' 5 gunung berapi kaki 'hiking' wajib cuba daki

BACA LAGI: Nak segar tanpa kopi? Ini cara sebenar ‘boost’ tenaga tanpa perlu minuman kafein

British artist David Shrigley poses next to his installation

Shrigley menggunakan tali lama secara percuma kerana dikatakan ia tidak boleh dikitar semula. — Agensi

Sepertimana artis dari Britain, David Shrigley, yang telah mengumpulkan bertan-tan tali buangan di sebuah galeri di London dan meletakkan tanda harga £1 juta (RM5.4 juta) sambil meletakkan frasa 'money for old rope'.

Karya artis yang pernah dicalonkan untuk Turner Prize itu dan dipertonton di Stephen Friedman Gallery, London, terdiri daripada empat timbunan besar tali lama.

Berat tali tersebut secara keseluruhan kira-kira 10 tan dan perlu diangkut menggunakan 60 palet selepas berbulan-bulan proses pengumpulan dilaksanakan.

Projek tersebut, yang mencetuskan gelak kecil daripada orang ramai yang mengintai melalui tingkap besar galeri Mayfair ketika AFP itu bertujuan untuk menimbulkan unsur keseronokan.

“Saya memutuskan untuk bertindak berdasarkan peribahasa British, iaitu ‘money for old rope’ yang pada asasnya bermaksud, anda dibayar untuk barangan atau perkhidmatan yang tidak memiliki nilai.

“Saya berminat untuk mengetahui apa yang akan berlaku jika kita membuat representasi literal terhadap peribahasa tersebut,” kata Shrigley.

Dalam tempoh kira-kira tujuh bulan, Shrigley dan pasukannya mengumpul tali-tali terpakai daripada nelayan dan pusat aktiviti memanjat di seluruh Britain.

“Rupanya ramai yang sudi memberikan tali lama secara percuma kerana ia tidak boleh dikitar semula. Pemasangan karya di galeri pula sangat mudah.

“Saya sebenarnya tidak mempunyai perancangan khusus, hanya menyusunnya dalam timbunan,” tambahnya.

“Saya juga tidak membuat sebarang keputusan estetik mengenai cara ia dipersembahkan. Ia hanyalah empat timbunan besar yang saiznya lebih kurang sama,” ujarnya.

Beliau mengakui bahawa tanda harga itu agak tinggi, namun, Shrigley ada pendirian dan justifikasi tersendiri.

“Berdasarkan berat, ia sebenarnya sangat berbaloi. Anda tidak akan mendapat banyak karya seni dengan satu juta pound, tetapi 10 tan, saya rasa, mewakili nilai wang yang cukup baik,” katanya yang merujuk kepada seni moden.

Shrigley berkata, tiada satu maksud tunggal untuk karya tersebut. Seni bukanlah teka-teki yang perlu diselesaikan dengan satu jawapan.

Ia sepatutnya menjadi pemangkin untuk perbincangan dan idea kepada orang ramai.

“Saya pada dasarnya mempersembahkan sesuatu dalam seni, yang tiada nilai atau yang mempunyai jenis ‘pertindihan berlebihan’ dalam dunia seni. Ia tidak lagi berguna. Jadi mungkin ada sedikit unsur pathos di situ,” jelasnya.

Beliau berkata, dia memahami mengapa golongan sinis mungkin memandang rendah karyanya, tetapi dalam beberapa kaedah, ia direka menggunakan fikiran masing-masing.

“Sudah tentu, ada unsur jenaka di situ, tetapi bukan sekadar itu. Anda tahu, jenaka itu sangat terbuka. Ia adalah satu cadangan untuk orang membincangkan tentangnya,” terangnya.

Pameran terbuka itu dibuka secara percuma untuk orang ramai hadir sehingga 20 Disember.

“Saya akan terkejut jika ada yang membelinya, tetapi pada masa yang sama ia agak menarik. Datang dan lihat sendiri, tengok apa pendapat anda.

"Jika anda ada satu juta pound ia boleh menjadi pelabur dengan bijak,” ujarnya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram