PETANG itu cuaca sangat panas ketika kami menyertai Penang River Cruise di Seberang Perai.
Namun, sebaik sahaja kami meninggalkan jeti dan memasuki paya bakau, udara mula terasa lebih sejuk.
Bising dan kesibukan bandar perlahan-lahan hilang ketika bot meluncur di sepanjang sungai, melepasi pokok bakau berdahan rendah dan dedaunan yang berdeser.
BACA LAGI: Apa yang berlaku jika tak ikut arahan kru kabin, terutamanya berbaring ketika kapal terbang mendarat
BACA LAGI: Pusat akuatik baharu di Bandar Tun Razak dijangka siap 2030, telan belanja RM50 juta

Pelayaran selama dua jam adalah perjalanan santai menerokai dalam alam semula jadi.
Itu ungkapan penulis, Ivy Soon yang menyertai satu penemuan baharu untuk melihat sungai dengan begitu dekat melalui pelayaran ini.
Melibatkan tiga sungai iaitu Sungai Juru, Sungai Kerian, dan Sungai Perai yang mengalir melalui tanah besar Pulau Pinang, laluan tersebut melepasi kawasan perindustrian, taman, dan lebuh raya.
Namun, sungai-sungai ini biasanya tidak digunakan untuk rekreasi oleh penduduk tempatan.
Ia disebabkan reputasinya yang kotor, Sungai Juru sudah lama dianggap sebagai tempat pembuangan sampah dan bahan pencemar.
Sepanjang pelayaran sejauh 15 kilometer itu, tanggapan lama nampaknya sudah berubah.
“Sungai kini telah dibersihkan daripada sampah dan serpihan, dan bot kami meluncur dengan mudah sehingga ke laut terbuka,” katanya.
Sungai Juru telah mengalami transformasi yang luar biasa melalui usaha pemulihan berterusan oleh Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pulau Pinang, NGO WonderWorks, Auto City dan pihak berkepentingan lain.
Hari ini, sungai tersebut menyokong biodiversiti yang berkembang pesat dan telah mencapai kualiti air Kelas III, satu contoh pemulihan alam sekitar yang menginspirasikan.
Inisiatif tersebut sejajar dengan pengiktirafan bahawa sungai mempunyai potensi untuk dibangunkan sebagai produk pelancongan di Seberang Perai.
"Pulau Pinang terkenal dengan warisan, budaya dan masakannya. Dengan pengenalan Penang River Cruise, kami menambah satu dimensi lagi kepada tarikan kami – keindahan semula jadi,"
"Pelayaran ini seperti dokumentari hidup tentang biodiversiti dan landskap budaya Pulau Pinang, serta menonjolkan daya tarikan unik negeri kita," kata Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang (Petace), Wong Hon Wai semasa pelancaran pelayaran baru-baru ini.
Pembangunan Produk Ekopelancongan
"Pelayaran sungai diiktiraf secara global sebagai produk pelancongan, dari Mekong di Asia Tenggara hingga Yangtze di China dan Nil di Mesir. Hari ini, Pulau Pinang menyertai tradisi ini melalui Penang River Cruise kami sendiri, menambah bab unik kepada peta pelancongan sungai dunia," tambah Wong.
Usaha untuk menukar sungai menjadi destinasi ekopelancongan bermula dengan penyelidik dan pakar mengenal pasti serta menilai biodiversiti habitat semula jadi di sepanjang Sungai Juru, tebingnya dan Hutan Simpan Bukit Juru.
Penyelidik juga mencadangkan pemulihan habitat yang terjejas. Di samping itu, ia mampu menyokong projek kelestarian sungai ini juga memberi makna tersendiri.
"Dalam era yang dikuasai oleh skrin digital, pelayaran sungai ini menawarkan peluang segar untuk kembali berhubung dengan alam sambil mempelajari kelestarian dengan cara yang menyeronokkan," ujar Wong ringkas.
Dalam tempoh dua hingga tiga tahun projek pemulihan sungai ini, satu 'Paru-Paru Hijau' telah diwujudkan di kawasan perindustrian, komersial dan perumahan Seberang Perai.
“Yang juga mengagumkan adalah kerjasama komuniti dan tekad untuk membersihkan Sungai Juru.
“Salah seorang pemain utama dalam projek pelayaran sungai ini ialah Auto City, syarikat yang menguruskan Auto-City, pusat sehenti untuk automotif, F&B, rekreasi, perbankan, dan pelancongan,” ujar penulis.
Sejak pertengahan 2010-an, pihak pengurusan Auto City mengamalkan konsep 'Modern Nature' yang mengharmonikan pembangunan moden dan alam semula jadi.
“Mereka konsisten memulakan amalan hijau di Auto City. Memulakan Projek Penang River Cruise adalah kesinambungan daripada pendekatan 'Modern Nature' mereka,” ujarnya lagi.
Projek pelayaran sungai itu melibatkan kampung nelayan dan kilang-kilang tempatan di sekitarnya.
Pekerja kilang turut serta dalam projek pembersihan sungai, membantu mengangkat sampah dari air bersama sukarelawan lain, menggunakan bot yang disewa daripada nelayan.
“Sebenarnya, salah satu matlamat projek pelayaran sungai ini adalah untuk membuka peluang menjana pendapatan bagi penduduk kampung tempatan,” jelasnya.

Penumpang boleh cuba dengan sendiri untuk menangkap kerang semasa pelayaran sungai.
Dekat Dengan Alam
Pengasas dan Pengurus Besar Auto-City, Gary Teoh berkata, ekosistem sungai mempunyai enam habitat berbeza yang dikaji oleh penyelidik, merangkumi burung, mamalia, reptilia, serangga, hidupan akuatik, serta tumbuhan pesisir seperti bakau dan nipah.
"Elemen-elemen ini menggabungkan pendidikan, kesedaran pemuliharaan dan hiburan untuk memikat pengunjung.
“Aktiviti daripada menangkap ketam hingga menebar jala, menjadikan pengalaman ini benar-benar beri kesan kepada penduduk,” jelasnya.
Sejajar dengan tujuan menanamkan kecintaan terhadap alam dan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan kelestarian, pasukan di belakang Penang River Cruise juga telah membangunkan portfolio bahan pendidikan.
Papan makluman, poster, dan risalah membantu mendidik penumpang tentang kekayaan semula jadi yang mereka akan temui sepanjang pelayaran.
Di jeti, penumpang yang menunggu untuk menaiki bot boleh membaca tentang haiwan yang mungkin mereka temui di sepanjang sungai.
“Kami terdengar anak-anak menjerit kegembiraan kerana mereka telah melihat sekumpulan memerang di tebing seberang.
“Semasa pelayaran, pemandu pelancong yang dikenali sebagai Rizal, menunjukkan penampakan haiwan dan burung. Kami melihat monyet daun perak, biawak, dan burung seperti bangau dan kingfisher (burung raja udang) ,” ujarnya.
Walaupun kami hanya sempat melihat sekejap burung berwarna oren dan biru itu, kami dapat mendengar kicauannya.
Rizal sangat mesra dan sentiasa bercerita sepanjang perjalanan, menerangkan dengan terperinci semua yang kami lihat di sepanjang sungai.
Semasa melalui kampung nelayan, dia menjelaskan jenis-jenis bot yang berlabuh di situ dan maksud tanda pada bot tersebut.
Di paya bakau, Rizal menerangkan tentang jenis tumbuhan dan pokok, serta haiwan dan serangga yang dilihat.
Sungai itu juga menjadi habitat ular bakau, ular kapak, bahkan ular air bermuka anjing yang jarang ditemui.
Secara keseluruhan, pelayaran tersebut bagaikan penemuan alam semula jadi.
Untuk memecahkan rasa bosan semasa pelayaran, penumpang boleh menyertai aktiviti sungai seperti memasang perangkap untuk menangkap kerang dan memancing.
Menjelang akhir pelayaran selama dua jam itu, pengunjung telah diperkenalkan kepada ekologi, pemuliharaan dan amalan lestari dengan cara yang menyeronokkan dan menarik. — The Star/ IVY SOON
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
