JENAMA pakaian tradisional Bahari Asyek baru-baru ini menerima jemputan istimewa daripada Kedutaan Malaysia di Wellington, New Zealand, bagi mempersembahkan keindahan busana tradisi Melayu di pentas antarabangsa.
Acara tersebut berjaya menyerlahkan warisan budaya Malaysia di Bumi Koala dan membuka ruang baharu dalam promosi pelancongan negara.
Majlis berprestij itu turut dihadiri oleh Duta Besar Grahame Morton, Timbalan Setiausaha – Kumpulan Amerika dan Asia Kementerian Luar Negeri dan Perdagangan New Zealand, Exco Kerajaan Negeri Selangor (Perumahan & Kebudayaan), Datuk Borhan Aman Shah, perwakilan kedutaan asing, serta komuniti Melayu setempat, menjadikannya satu acara yang berimpak tinggi dalam memperkenalkan fesyen tradisional Malaysia kepada dunia.
BACA LAGI: Apa yang berlaku jika tak ikut arahan kru kabin, terutamanya berbaring ketika kapal terbang mendarat
BACA LAGI: Pusat akuatik baharu di Bandar Tun Razak dijangka siap 2030, telan belanja RM50 juta

Koleksi pakaian tradisional yang dipertontonkan kepada perwakilan di New Zealand.
Dalam persembahan tersebut, Bahari Asyek mempamerkan hampir 20 rekaan baju kurung dan kebaya yang lengkap dengan aksesori tradisional, memperlihatkan kehalusan seni rekaan serta keunikan budaya Melayu.
“Kehadiran perwakilan asing menjadi inspirasi kami untuk mengangkat persalinan tradisi Melayu ke persada dunia,” katanya dalam kenyataan.
Sebagai jenama yang sinonim dengan busana tradisi wanita Melayu, Bahari Asyek amat menitikberatkan pemilihan fabrik, keselesaan, serta potongan yang mengekalkan keaslian dan nilai estetika.

Persembahan tersebut menjadi platform untuk mempamerkan warisan budaya negara.
Setiap koleksi digarap dengan gabungan aksesori dan sentuhan klasik, selaras dengan identiti jenama berkenaan.
Persembahan tersebut bukan sahaja menjadi platform untuk mempamerkan warisan budaya, tetapi juga membuka peluang kepada pelancong dan masyarakat antarabangsa untuk mengenali Malaysia dengan lebih dekat.
Ia turut dipuji kerana memberi pengalaman budaya yang menyeluruh kepada para tetamu.

Pemilihan fabrik serta potongan mengekalkan keaslian dan nilai estetika.
Kehadiran Bahari Asyek di pentas antarabangsa dilihat sebagai jambatan baharu dalam sektor pelancongan, memperlihatkan kehebatan hasil seni dan busana tempatan yang berpotensi menarik minat pelancong luar untuk berkunjung ke Malaysia.
“Kalau Jepun terkenal dengan kimono, Korea dengan hanbok, China (cheongsam) dan India (sari), mengapa kita tidak boleh menjadikan pakaian tradisi kita sebagai ikon negara?,” katanya lagi.
Menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, usaha sedemikian dianggap penting dalam memperkukuh identiti budaya Malaysia di mata dunia.
Bahari Asyek kini menyasarkan untuk menganjurkan pertunjukan di lebih banyak negara, agar busana tradisi Malaysia bukan sahaja kekal relevan di tanah air, tetapi turut digayakan di pentas global.

Peragaan fesyen juga menjadi jambatan baharu dalam sektor pelancongan, memperlihatkan kehebatan hasil seni dan busana tempatan.
Dengan laman web rasmi yang dikemas kini dan penambahan koleksi terbaharu, Bahari Asyek membuka ruang kepada pelancong dan pencinta budaya untuk mengakses serta menghargai keunikan warisan Malaysia dengan lebih mudah.
Selain daripada Bahari Asyek, PADAT Selangor turut serta menyumbang persembahan tarian dan nyanyian Melayu, Mahmeri dan peragaan pakaian negeri Selangor.
Makanan kegemaran rakyat Malaysia seperti nasi lemak dan teh tarik turut disediakan oleh pihak kedutaan Malaysia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
