
SEBUT saja Taiping, Perak pastinya kebanyakan masyarakat tahu akan bandar yang penuh dengan sejarah itu.
Pada 12 hingga 14 Septermber ini, lokasi tersebut bakal menganjurkan Festival Legasi (Legasi) bersempena hari Malaysia.
Dianjurkan oleh Taiping Heritage Society dibawah pimpinan penulis terkenal Liew Suet Fun, festival tersebut akan berlangsung dalam skala kecil.
Ia akan mengetengahkan muzik, seni persembahan dan penceritaan berlapis disulam dengan elemen warisan.
BACA LAGI: Mahu bersantai 'port best' di Mersing? Felda Residence Tanjung Leman lengkapkan percutian anda
Festival Legasi membuka tirai dengan 'A Path Through the Forest' berjalan kaki alam semula jadi dan acara muzik di Maxwell Basecamp.
Tiga lokasi ikonik dipilih untuk menjadi pentas utama iaitu Maxwell Basecamp, Perpustakaan Awam Taiping dan Muzium Perak.
Festival ini turut berlangsung seiring Raintown Film Festival, yang menayangkan filem indie serta dokumentari sejarah lisan tentang Taiping.
Dengan gabungan muzik, filem dan warisan, Legasi meletakkan harapan bukan sahaja untuk menarik pelancong tempatan dan luar negara, tetapi juga menonjolkan khazanah sebenar Taiping.
Magis Maxwell
Pada 12 September, festival dimulakan dengan acara “A Path Through the Forest” di Maxwell Basecamp, Bukit Larut. Lokasi itu merupakan pintu masuk ke kawasan hutan simpan seluas 6,800 hektar yang kaya dengan flora dan fauna.
Suet Fun akan membawa pengunjung menyusuri denai hutan pada pukul 5.30 petang, sambil berkongsi kisah menarik sebelum menyampaikan puisi yang digubah khas untuk acara tersebut.
Apabila senja menjelma, muzik berteraskan alam mengambil alih suasana. Tawfan Inmala mempersembahkan alunan seruling buluh.
Diiringi Anderson Kalang dari Sarawak dengan petikan sape serta Marianne Dayang Peter yang menarikan tarian enggang masyarakat Kelabit.
Melodinya berkembang menjadi nyanyian penyembuhan serta tarian tradisi seperti lasan (solo lelaki), leto (solo wanita) dan datun julut (tarian berbaris).
Harmoni Kamar di Perpustakaan
Pada 13 September pula, Perpustakaan Awam Taiping akan menjadi lokasi konsert kamar bertajuk “Lessons From the Heart” pada pukul 8 malam.
Dibina pada tahun 1882 dan dibina semula pada 1912, perpustakaan ini masih mengekalkan lantai papan dan suasana klasiknya.
Sebanyak 80 tempat duduk disediakan untuk persembahan yang diketuai bekas pelajar King Edward VII dan juga pemain klarinet, Ng Eng Seong bersama kumpulan sembilan pemuzik lain.
Mereka akan mempersembahkan lagu klasik Melayu, irama tango, jazz serta melodi animasi Studio Ghibli sambil berkongsi kisah dan ilmu tentang instrumen masing-masing.
Muzium Bernyawa dengan Muzik
Malam penutup pada 14 September di Muzium Perak akan diadakan konsert bertema “Memories and Music”.
Lokasi yang merupakan muzium tertua di Malaysia bakal membuka pintu kepada 100 tetamu menyusuri dewan pameran, dengan muzik sebagai pencerita.
Konsert dikurasi oleh penyanyi soprano, Dr Ang Mei Foong, bersama kumpulan Dendang Suara Serantau, merentasi lagu “pengembaraan” dari Eropah ke Tanah Melayu abad ke-19, diikuti tradisi Melayu dan etnik tempatan.
Pada siang hari, kanak-kanak boleh menyertai aktiviti interaktif piano hop-on hop-off menggunakan dua piano termasuk, sebuah piano fabrik denim hasil ciptaan anak jati Taiping, Henry Chan dari The Crafting Music.
Muzium Perak dipilih sebagai salah satu lokasi acara.
Taiping Bernyawa Semula
Taiping, yang lama digelar “syurga pesara”, kembali segar semasa era pandemik apabila generasi muda pulang ke kampung halaman, membawa gabungan tradisi dan idea baharu.
Legasi mencerminkan jalinan lama dan baharu ini, meraikan komuniti yang landskap budayanya terus berkembang.
Selain muzik, Taiping Heritage Society turut memperkenalkan tiga laluan warisan untuk diteroka:
Jana Trail – menghubungkan khazanah botani dengan tinggalan komuniti perlombongan bijih timah.
Tin Trail – menelusuri sejarah bagaimana penemuan seekor gajah mengubah takdir bandar Taiping.
Charcoal Trail – menyorot industri arang kayu di Kuala Sepetang yang dimodenkan oleh British sejak 1904.— The Star/SHIREEN ZAINUDIN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram