Pengalaman luar biasa buat peminat F1, Grand Prix Plaza bangkitkan adrenalin pengunjung


  • Nomad
  • Selasa, 29 Jul 2025

Tersedia artifak legenda dan kereta F1 ikonik dipamerkan di Grand Prix Plaza

WALAUPUN perlumbaan Formula 1 (F1) tidak lagi dianjurkan di Malaysia, sukan lumba kereta terpantas di dunia ini masih memiliki peminat yang setia di seluruh negara.

Minat terhadap kehebatan teknologi, kelajuan ekstrem, dan kisah menarik di sebalik pelumba terkenal terus membara dalam kalangan pengikutnya.

Antara berita yang mencetuskan sensasi dunia baru-baru ini ialah perpindahan juara dunia tujuh kali, Lewis Hamilton, dari pasukan Mercedes AMG Petronas ke Scuderia Ferrari, satu langkah yang mengejutkan dan menggamit perhatian.

BACA LAGI:[VIDEO] 'Bukan gadis litar biasa-biasa', Maaya Orido teruskan legasi JDM

BACA LAGI:[VIDEO] Musim candat sotong di perairan Pantai Timur 'syurga' buat kaki pancing

Namun begitu, tahukah anda bahawa terdapat sebuah lokasi hiburan berteknologi tinggi di Amerika Syarikat yang menawarkan pengalaman F1 paling imersif dan luar biasa?

Lokasinya adalah Grand Prix Plaza di Las Vegas yang terkenal dengan pelbagai premis hiburan.

Grand Prix Plaza, yang dibuka secara rasmi pada 2 Mei 2025, merupakan hasil kerjasama antara Round Room Live dan pihak Formula 1.

Dengan keluasan melebihi 100,000 kaki persegi, lokasi ini menawarkan pelbagai tarikan yang akan membangkitkan adrenalin peminat F1 daripada pameran interaktif hinggalah kepada pengalaman simulasi yang menyerupai perlumbaan sebenar.

 

Menguji ciptaan kenderaan sendiri di litar maya interaktif di F1 X.

Tiga komponen utama menjadi daya tarikan Grand Prix Plaza adalah:

1. F1 X

F1 X ialah pengalaman interaktif berteknologi tinggi yang membawa pengunjung menjelajah dunia F1 secara mendalam. Melalui pameran 4D yang canggih, ia menampilkan;

- Artifak legenda dan kereta F1 ikonik

- Aktiviti praktikal termasuk mereka bentuk kereta F1 maya

- Peluang menguji ciptaan sendiri di litar maya interaktif

2. F1 Drive

Merasai sendiri kelajuan dan suasana perlumbaan F1 bukan lagi sekadar impian. Di F1 Drive, pengunjung berpeluang memandu kart berprestasi tinggi yang dilengkapi;

- Paparan stereng LED.

- Teknologi Sistem Pengurangan Seretan (DRS) seakan F1 sebenar.

- Litar yang diinspirasikan daripada Las Vegas Grand Prix.

 

Perlumbaan simulasi F1 yang realistik.

3. F1 Hub

F1 Hub merupakan pusat aktiviti Grand Prix Plaza. Di sini, pengunjung boleh;

- Mengalami permainan simulasi F1 yang realistik.

- Membeli barangan rasmi dari setiap pasukan F1 di kedai cenderamata eksklusif.

- Mendekati dunia F1 dalam suasana yang santai dan menghiburkan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Las Vegas Grand Prix Inc. merangkap Ketua Pegawai Komersial F1, Emily Prazer berkata, tarikan baharu ini membuka akses luar biasa kepada dunia F1.

"Pengunjung kini dapat melihat kereta F1 dari dekat, mencuba simulator perlumbaan dan memandu kart di laluan yang terinspirasi dari Litar Las Vegas Strip.

"Grand Prix Plaza ialah aset komuniti yang akan mengembangkan lagi pengaruh F1 di rantau ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bersama Round Room Live dan penerbit The Formula 1 Exhibition, Jonathan Linden, menyifatkan ini adalah pameran F1 terbesar yang pernah dilancarkan di Amerika Utara dan lokasi ini membuka ruang untuk orang awam lebih dekat dengan dunia perlumbaan profesional.

Bagi peminat tegar F1, Grand Prix Plaza wajar dimasukkan ke dalam senarai bucket list anda.

Ia bukan sekadar lokasi hiburan biasa, tetapi sebuah pengalaman mendalam yang menggabungkan teknologi, sejarah, dan keghairahan perlumbaan dalam satu destinasi.—Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram