
SARAWAK sememangnya terkenal sebagai negeri yang kaya dengan keunikan budaya dan peradaban, hasil daripada kepelbagaian suku kaum yang mendiami negeri ini sejak sekian lama.
Bagi anda yang ingin mengenali dengan lebih dekat budaya dan sejarah masyarakat Sarawak, apa kata rancang satu perjalanan ke Bumi Kenyalang dan singgah di Muzium Budaya Warisan Sibu, sebuah lokasi yang sarat dengan nilai sejarah dan identiti tempatan.
BACA LAGI: Arena bola sepak negara belum stabil tapi Omar tetap latih anak demi bina karakter
BACA LAGI: Serik ditipu pomen, wanita asal Gerik buka sendiri bengkel Aida Misspomen
Muzium Budaya Warisan Sibu terletak kurang satu kilometer dari Pasar Sentral Sibu.
Terletak kurang satu kilometer dari Pasar Sentral Sibu, muzium ini mempamerkan pelbagai informasi dan koleksi menarik seperti alat muzik tradisional, pakaian etnik, kraftangan, serta senjata tradisional pelbagai kaum. Turut dipamerkan adalah dokumen serta surat rasmi dari zaman pemerintahan Dinasti Brooke dan penjajahan Jepun, termasuk artifak-artifak yang jarang ditemui di tempat lain.
Kebanyakan pengunjung mungkin sudah biasa mendengar tentang suku kaum Iban, Melanau dan Bidayuh. Namun, tidak ramai yang mengetahui bahawa kaum Cina Foochow juga merupakan sebahagian penting daripada komuniti di Sarawak dan memainkan peranan besar dalam sejarah negeri ini.
Menariknya, muzium ini mempunyai satu seksyen khas yang menyoroti kisah penghijrahan masyarakat Foochow dari China ke Sibu pada awal 1900-an. Pameran ini dilengkapi dengan peta penghijrahan, gambar kapal yang mereka naiki, serta naratif kehidupan awal mereka di tanah Sarawak.
Kaum Cina Foochow kini merupakan kumpulan etnik terbesar di daerah Sibu, diikuti kawasan Sarikei dan Bintangor. Sejak awal abad ke-20, mereka telah memainkan peranan besar dalam pembangunan ekonomi dan budaya di kawasan tengah Sarawak, khususnya dalam bidang pertanian, pendidikan, dan perniagaan.
Muzium Budaya Warisan Sibu berfungsi sebagai pusat pemeliharaan dan pameran warisan budaya pelbagai kaum termasuk Foochow (Fuzhou).
Berperanan sebagai pusat pemeliharaan warisan, Muzium Budaya Warisan Sibu berfungsi untuk mempamerkan kekayaan budaya pelbagai kaum di kawasan tengah Sarawak, terutamanya masyarakat Iban, Melanau dan Foochow (Fuzhou). Ia bukan sekadar tempat pameran, tetapi juga pusat pendidikan budaya yang sesuai untuk semua peringkat umur.
Bagi peminat sejarah dan budaya, kunjungan ke muzium ini pasti memberikan pengalaman yang bermakna serta membuka mata terhadap kekayaan warisan pelbagai kaum di Malaysia menjadikan ia satu destinasi yang wajar dimasukkan dalam senarai lawatan anda ke Sarawak. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram