TONGGAK baharu Kelantan FC, Khairul Helmi Johari menyifatkan kejayaan meraih gelaran 'double treble' bersama Kedah merupakan kenangan paling manis yang pernah dirasai dalam kariernya sebagai pemain bola sepak.
Menurut pertahanan tengah itu, kejayaan meraih gelaran 'treble' sebanyak dua musim berturut-turut adalah satu pencapaian yang amat membanggakan dan sukar dilakukan.
"Ia satu kenangan yang manis, bukan mudah nak buat pencapaian macam tu.
"Kalau mewakili Harimau Malaya, sudah tentu ketika menjuarai Piala AFF Suzuki 2010, lebih-lebih lagi dengan pengalaman menaiki kereta kebal Barracuda pada aksi Final di Indonesia merupakan satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan sampai sekarang," katanya.
Khairul Helmi merupakan salah seorang tonggak Kedah yang meraih trofi liga, Piala FA dan Piala Malaysia pada tahun 2007 dan 2008 di bawah kendalian ketua jurulatih, Azraai Khor Abdullah.
Beliau berkongsi perkara itu dalam segmen '5 Minit Bersama' yang disiarkan di laman Facebook Malaysian Football League (MFL).
Pemain berusia 34 tahun itu turut berkongsi hubungan rapatnya dengan bekas kapten Kedah, Baddrol Bakhtiar sejak dari kecil.
"Dari kecil lagi saya dah kenal Bad. Bapa kami merupakan askar, kami duduk satu taman. Rumah kami dekat saja dalam 200 meter.
"Kami juga pernah belajar di sekolah menengah yang sama dan akhirnya bersama-sama dalam pasukan negeri (Kedah). Dia boleh dikatakan sebagai kawan rapat saya sejak kecil," katanya.
Dalam pada itu, beliau berharap kehadirannya di Kelantan FC dapat mengembalikan kembali zaman kegemilangan The Red Warriors.
"Kita tahu Kelantan merupakan salah satu pasukan elit sebelum jatuh ke Liga Premier. Ketika bersama Kedah dulu, kalau nak main di Kelantan n,i saya akan rasa seronok kerana penyokongnya yang ramai dan fanatik, rasa takut pun ada.
"Apabila Kelantan jatuh (ke Liga Premier), rasa Liga Super ni tak sempurna, jadi saya datang ke sini untuk cuba mengembalikan kelab ke saingan Liga Super, bersama rakan-rakan lain," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram