'Tak pasti Pan-gon mempunyai sentuhan ajaib atau tidak'


  • Podium
  • Jumaat, 18 Feb 2022

PAN-GON (tengah) bersama barisan kejurulatihan yang diperkenalkan secara rasmi pada Khamis. — Facebook FAM

PARA peminat bola sepak tempatan tentunya mengharapkan sesuatu yang positif menerusi pelantikan jurulatih dari Korea Selatan, Kim Pan-gon sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya bermula pada Khamis.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum ini menyatakan tidak meletakkan sebarang penanda aras kepada Pan-gon sepanjang khidmatnya selama dua tahun bersama skuad negara namun sasaran layak ke Piala Asia masih menjadi keutamaan.

Selepas kegagalan Harimau Malaya dalam kejohanan Piala Suzuki AFF 2020 tahun lalu, para penyokong enggan terus berduka dan mahu kejayaan digapai oleh skuad bimbingan Pan-gon khususnya di peringkat Asia Tenggara, seterusnya Asia.

Ujar penganalisis sukan tempatan, Dr Pekan Ramli, dalam jangka masa terdekat, tidak adil untuk menghukum atau menilai Pan-gon bersandarkan kepada keputusan perlawanan persahabatan semata-mata.

"Paling utama, peminat sudah pasti memantau persembahan keseluruhan pasukan dan ingin melihat perubahan yang berlaku.

"Kalau nak nilai daripada keputusan perlawanan persahabatan, bukanlah susah, kita pilih sahaja pasukan atau kelab yang ranking dunia lebih rendah daripada Malaysia, dah tentu peluang untuk menang secara atas kertas itu mudah.

"Namun harus diingat pilihan itu juga boleh memakan diri seandainya Harimau Malaya pula yang tewas.

"Jadi bagi saya, perubahan mendadak kepada kualiti persembahan skuad kebangsaan itu perlu dijadikan ukuran dan keutamaan bagi Pan-gon," katanya kepada Majoriti.

Jelasnya lagi, kejayaan akan diperoleh oleh skuad kebangsaan sekiranya kualiti permainan juga meningkat.

"Lagipun, kita tak pasti Pan-gon mempunyai sentuhan ajaib atau tidak.

"Biarlah beliau betul-betul kenal persekitaran bola sepak kita terlebih dahulu. Tak kenal, maka tak cinta.

"Kalau tak cinta, macam mana nak ada perasaan sayang dan bila tiada perasaan sayang, bagaimana pula untuk semua komuniti bola sepak di Malaysia saling menghormati serta memberikan sokongan kepada Pan-gon," ujarnya.

Selain itu, beliau turut berhadap pemilihan pemain kali dilakukan secara telus dan hanya pemain terbaik sahaja yang layak dipilih.

"Tiada lagi dakwaan campur tangan atau ada tangan ghaib bersandarkan pasukan atau kelab tertentu yang kononnya dalam kategori kayangan.

"Saya percaya Pan-gon sudah memahami isu ini serta mempunyai beberapa strategi dan pendekatan bakal digunakan bagi memantapkan sistem pemilihan pemain.

"Boleh dengar tapi jangan percaya sepenuhnya," menurutnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram