KETUA jurulatih Sarawak United, E Elavarasan yang dikhabarkan bakal dilantik sebagai penolong jurulatih tempatan kebangsaan, merupakan individu sesuai memegang portfolio tersebut.
Menurut pemerhati sukan tempatan, Mohd Sadek Mustaffa, Elavarasan dan ketua jurulatih kebangsaan baharu, Kim Pan-gon adalah sealiran dan mampu menjadi gabungan yang baik dalam skuad Malaysia.
"Elavarasan juga memenuhi kriteria serta falsafah yang ditetapkan oleh Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) baharu iaitu Scott O'Donnell.
"Perkara paling penting, beliau boleh berkomunikasi dengan baik bersama Pan-gon. Komunikasi yang jelas amat penting ketika berurusan dengan jurulatih asing dan perkara itu boleh dilakukan oleh Elavarasan.
"Elavarasan dapat menjadi pembantu yang baik daripada sudut keperluan sosial Pan-gon dan O'Donnell, sekali gus membentuk kepercayaan antara satu sama lain," katanya kepada Majoriti.
Tambah Mohd Sadek, Elavarasan merupakan seorang individu yang berterus-terang dan mempunyai pengalaman meluas dalam bola sepak.
"Beliau suka mengkritik, tidak kira FAM atau pengadil. Sifat keterbukaan itu yang penting, mungkin ditagih oleh O'Donnell.
"Elavarasan turut memiliki pengalaman teknikal tentang bola sepak, menunjukkan pengetahuan mendalam tentang falsafah bola sepak moden serta memahami tekanan setiap perlawanan dan kejohanan besar.
"Perkara itu saya merasakan menjadi kelebihan buat Elavarasan," ujarnya lagi.
Jelas Mohd Sadek, pelantikan Elavarasan akan memberikan dimensi baharu kepada bola sepak Malaysia.
"Kita tidak akan lihat lagi pemain kayangan dalam skuad kebangsaan kerana kalau terlalu bergantung kepada pemain sebegitu, pastinya akan memberi imej buruk kepada Harimau Malaya.
"Apa yang penting, seberapa cepat Elavarasan dan Pan-gon akan menerapkan falsafah mereka dalam bola sepak negara.
"Elavarasan dapat memberikan keyakinan dan penerangan jelas tentang kehendak Pan-gon kepada para pemain kebangsaan.
"Sudah tentu, Pan-gon akan melihat dua aspek iaitu kecergasan dan disiplin. Sekiranya dua elemen ini tidak dipenuhi pemain, mereka tidak akan mendapat tempat dalam skuad negara.
"Saya merasakan kedatangan Pan-gon juga akan memberikan peluang sama rata kepada pemain dari Liga Super, Liga Premier dan Liga M3 untuk merebut tempat," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram