Pan-gon tak tahu Elavarasan pembantu jurulatih Harimau Malaya


  • Podium
  • Khamis, 17 Feb 2022

PAN-GON akan membuat keputusan mengenai pembantu jurulatih tempatan dalam masa terdekat. — AFP

TEKA-TEKI mengenai pembantu jurulatih tempatan kepada ketua jurulatih Harimau Malaya baharu, Kim Pan-Gon nampaknya masih kekal misteri selepas jurulatih Korea itu mengesahkan beliau akan membuat keputusan berkenaan perkara itu dalam masa terdekat.

Media sebelum ini melaporkan ketua jurulatih Sarawak United FC, E Elavarasan menjadi pilihan pengurusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi menggalas tugas tersebut.

Namun, Pan-Gon ketika ditanya mengenai individu yang bakal mengisi posisi itu berkata, beliau akan berbincang dengan Pengarah Teknikal, Scott O'Donell sebelum mengumumkan perkara itu.

"Saya sudah mendapatkan informasi tentang calon jurulatih tempatan yang akan membantu saya, saya sudah terima beberapa CV (Curriculum Vitae) saya tengok dan saya akan jumpa mereka secara individu sebelum berbincang dengan Pengarah Teknikal.

"Kita akan memilih calon terbaik dalam masa terdekat, kerana saya perlukan warga tempatan untuk membantu saya dalam beberapa perkara," katanya pada sidang media memperkenalkan barisan kejurulatihan baharu Harimau Malaya pada Khamis.

Dalam sidang media pada Khamis, Pan-gon turut memperkenalkan empat individu yang bakal membantunya iaitu penolong jurulatih, Pau Marti Vicente, Cho Jun Ho (jurulatih penjaga gol), Dr Gokhan Kandemir (jurulatih kecergasan) dan Lim Jaehun (penganalisis).

Pan-gon secara rasminya diperkenalkan buat kali pertama kepada umum dalam satu sidang media di Wisma FAM di Petaling Jaya, Selangor pada Khamis. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram