SELEPAS persembahan hambar skuad Harimau Malaya ketika kejohanan Piala AFF Suzuki 2020 hujung tahun lalu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) melalui detik suram selepas beberapa kontroversi melibatkan badan induk itu satu-persatu didedahkan kepada umum.
Badan Siasatan Bebas Pasukan Harimau Malaya yang dipengerusikan Datuk Dell Akbar Khan sebelum ini mendedahkan pelbagai kepincangan yang berlaku dalam kem negara termasuk perpecahan yang terdapat dalam bilik persalinan dan isu pemain yang menolak panggilan untuk ke Singapura.
Situasi itu mengejutkan ramai pihak dan secara tidak langsung menambah lagi reputasi buruk terhadap FAM mengenai cara pengurusannya.
Selain itu, Pemilik Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam satu temubual bersama Astro Arena mendedahkan beberapa perkara yang melihatkan kelemahan badan induk itu yang menjadi punca persiapan ala kadar skuad negara sebelum ke kejohanan tersebut.
Antaranya, dakwa Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu, FAM mengubah perancangan awalnya untuk menghantar skuad Bawah 23 Tahun negara ke Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura apabila memanggil skuad senior pada saat akhir hingga menyebabkan isu pemain tidak bersedia.
Dalam temu bual itu, baginda turut menyatakan kesediaannya untuk ‘duduk semeja’ dengan beberapa pakar bola sepak tanah air bagi menjawab pelbagai persoalan dan isu bola sepak Malaysia ketika ini.
Malah, baginda mencadangkan tiga jurulatih termasuk bekas pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe selain ketua jurulatih KL City FC, Bojan Hodak dan bekas pemain kebangsaan, Lim Teong Kim sebagai antara individu yang boleh dipanggil untuk sesi tersebut.
Sebelum ini, Hodak juga pernah menyatakan beliau menyambut baik saranan Tunku Ismail untuk mengadakan sidang dialog terbuka dengan FAM.
Teong Kim juga menyatakan kesudiannya untuk mengadakan perbincangan secara terbuka dengan FAM demi kebaikan bola sepak negara.
Rancangan itu turut disambut baik oleh peminat bola sepak tempatan yang sudah sekian lama mahukan penjelasan telus daripada badan induk itu berkenaan prestasi hambar skuad kebangsaan.
Ramai yang berpendapat, sesi dialog terbuka seperti itu dapat merungkai masalah sebenar yang berlaku dalam kem negara serta badan induk itu dan memperbaiki kelemahan yang berlaku selama ini.
Namun, selepas beberapa minggu, perkara itu nampaknya sudah ‘reda’ dan tidak lagi diperkatakan oleh mana-mana pihak ibarat hangat-hangat tahi ayam.
Adakah ia sekadar retorik bagi menutup mulut peminat yang ketika itu sedang marah dan geram atas persembahan hambar skuad negara?
Pada 2016, Setiausaha Agung FAM ketika itu, Datuk Hamidin Mohd Amin juga pernah menyatakan kesediaan FAM untuk mengadakan perbincangan dengan mana-mana pihak dalam mencari jalan membantu meningkatkan mutu bola sepak negara terutamanya skuad kebangsaan.
Ia susulan cadangan Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk mengadakan sesi perbincangan mengenai kemerosotan prestasi bola sepak negara ketika itu.
Hamidin bagaimanapun tidak bersetuju jika ia diadakan secara terbuka dan disiarkan secara langsung. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram