Hati-hati Harimau Muda, Laos bukan lagi skuad belasahan


  • Podium
  • Khamis, 17 Feb 2022

DALAM kelayakan Piala Asia B-23 di Mongolia tahun lalu, Malaysia bergelut untuk menewaskan Laos dengan jaringan 1-0. — The Star

PERTAHANAN skuad bola sepak Bawah 23 Tahun (B-23) negara, Harith Haiqal Adam Afkar tidak mahu rakan sepasukannya mengambil mudah cabaran Laos dalam perlawanan pertama Kejohanan AFF B-23 di Prince Stadium di Phnom Penh, Kemboja pada Jumaat.

Aksi itu kini menjadi perlawanan wajib menang buat anak didik Brad Maloney berikutan penarikan diri Indonesia dan Myanmar akibat penularan kes Covid-19 dalam kem mereka.

Pemain berusia 19 tahun itu, yang memainkan peranan penting membantu Malaysia layak ke pusingan akhir Piala Asia B-23 berkata, pasukan Laos sekarang bukanlah seperti dahulu.

Dalam kelayakan Piala Asia B-23 di Mongolia tahun lalu, Malaysia bergelut untuk menewaskan Laos dengan jaringan 1-0.

“Laos bukan lagi budak belasahan di rantau ini. Semua perlawanan datang dengan tekanan dan kali ini kami berdepan situasi mesti dimenangi jadi lebih tekanan.

“Kali terakhir bertemu (Laos), kami menewaskan mereka dengan hanya satu gol dan ia adalah perlawanan yang sukar.

"Kebanyakan pemain mereka pada kejohanan ini diambil daripada skuad berkenaan manakala kami mempunyai beberapa pemain baharu.

“Bagaimanapun, kami telah bekerja keras dalam latihan dan bersedia memberikan yang terbaik.

“Dengan pemain seperti Azrin Azrin Afiq Rusmini dan Faiz Amer Runnizar yang bermain di Mongolia, mereka boleh membimbing pemain baharu.

“Saya rasa pemain baharu juga mampu melaksanakan tugas itu, mereka bagus. Kami mahu ke separuh akhir," kata Harith.

Sementara itu, ketua jurulatih skuad negara, Brad Maloney terpaksa menyisihkan pemain pertahanan, Zikri Khalili akibat kecederaan lutut dan tempatnya akan diambil alih oleh Fahmi Daniel Zaaim sebaik tempoh kuarantinnya tamat.

Fahmi disahkan positif Covid-19 sebaik tiba di Phnom Penh Jumaat lalu tetapi bersedia untuk menyertai semula pasukan selepas tamat tempoh kuarantin selama lima hari.

Maloney juga menjangkakan pertarungan sengit daripada Laos yang kini dilatih oleh jurulatih Jerman, Michael Weiss.

“Laos adalah lawan yang sukar di Mongolia dan mereka mempunyai segelintir pemain daripada skuad itu pada kejohanan ini.

“Mereka juga mempunyai ketua jurulatih baharu, Weiss, yang sudah lama berkelana di Asia Tenggara dan sangat berpengalaman.

“Kami perlu kekal tenang kerana kemenangan akan memberi kami peluang untuk bermain dua lagi perlawanan.

“Apa pun, objektif utama kami adalah untuk memberikan pemain baharu pengalaman antarabangsa sebanyak mungkin," kata jurulatih yang berasal dari Australia itu. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram