PEMILIHAN Johor Bahru sebagai tuan rumah bagi semua perlawanan Kumpulan I saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2022 bukan sahaja menggembirakan juara bertahan Liga Super, Johor Darul Takzim (JDT), malah turut melegakan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).
Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam yang menyambut baik pengumuman Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) pada Rabu berkata, situasi itu akan melicinkan perjalanan kalendar pasukan Harimau Selatan termasuk tidak perlu mengubah jadual perlawanan saingan Liga Malaysia (Liga M) sekiranya JDT perlu beraksi di luar negara.
"Kita dapat jimat tempoh kuarantin tujuh hari untuk JDT (sekiranya bermain perlawanan ACL di luar negara) yang dapat mengurangkan tekanan dalam kalendar perlawanan kita.
"Pada masa ini apabila JDT main ACL, liga tempatan tetap berjalan, kami tidak menghalang, sebaliknya JDT dapat bermain ikut jadual,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis memeterai kerjasama bersama rakan penaja baharu Liga M, Luno, sebuah syarikat aset digital di Malaysia, dekat Petaling Jaya, Selangor pada Rabu.
Pemilihan Johor Bahru sebagai penganjur perlawanan berpusat bagi Kumpulan I pastinya memberi kelebihan kepada pemain beraksi di laman sendiri dalam melengkapkan kesemua enam perlawanan kumpulan.
JDT selaku juara Liga Super lapan kali berturut-turut diundi dalam Kumpulan I bersama juara Liga Jepun, Kawasaki Frontale, Guangzhou FC (China) dan pemenang perlawanan play-off antara Ulsan Hyundai (Korea Selatan) dan Port FC (Thailand).
Musim 2022 adalah penampilan keempat skuad kendalian Benjamin Mora itu dalam saingan ACL selepas kali pertama berentap dalam kejohanan berprestij Asia itu pada 2019.
Musim lalu, JDT menamatkan saingan di tempat ketiga kumpulan G, di belakang Nagoya Grampus dari Jepun dan naib juara, Pohang Steelers dari Korea Selatan.
Sementara itu, Stuart memaklumkan, pasukan Liga Premier, UiTM FC akan tetap beraksi pada saingan Liga M musim 2022 memandangkan pasukan itu telah pun mengesahkan penyertaan mereka kepada MFL baru-baru ini.
Perkhabaran itu sekali gus menepis desas desus bahawa UiTM FC bakal menarik diri pada musim 2022 yang akan membuka tirai pada 26 Februari ini menerusi perlawanan sumbangsih antara JDT dan Kuala Lumpur City FC, susulan kekurangan dana untuk mengharungi kempen baharu Liga M. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram