'Pemain terpilih tidak boleh tipu penyokong, perlu bermain mati-matian'


  • Podium
  • Jumaat, 18 Feb 2022

PAN-GON memulakan tugasnya sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya secara rasmi pada Khamis. — Facebook FAM

KETUA jurulatih baharu bola sepak kebangsaan, Kim Pan-gon diperkenalkan secara rasmi di Wisma FAM, Kelana Jaya di ibu kota pada Khamis.

Selain Pan-gon, empat lagi jurulatih untuk membantunya iaitu Pau Marti Vicente (penolong jurulatih), Cho Jun Ho (jurulatih penjaga gol), Dr Gokhan Kandemir (jurulatih kecergasan) dan Lim Jaehun (penganalisis) turut diperkenalkan pada majlis berkenaan.

Sudah tentu, para peminat bola sepak tempatan menantikan reformasi dalam skuad Harimau Malaya di bawah bimbingan Pan-gon terutamanya dari aspek pemilihan pemain.

Menurut penganalisis sukan tempatan, Dr Pekan Ramli, Pan-gon dilihat akan memberikan keutamaan kepada pemain-pemain muda.

"Mereka sesuai dengan corak permainan bola sepak masa kini yang menuntut kelajuan permainan, pemikiran yang pantas dan tahap kecergasan tinggi.

"Saya nyatakan secara jujur bahawa otai-otai yang ada, saya akui masih relevan untuk terus beraksi tetapi sudah tidak berbisa lagi.

"Terimalah hakikat ini," katanya kepada Majoriti.

Tambah Pekan, Pan-gon perlu menjadi seorang jurulatih yang dapat membantu melakukan transformasi terhadap kesedaran pemain supaya bersifat lebih positif dan benar-benar bertanggungjawab apabila terpilih mewakili skuad kebangsaan.

"Pemain terpilih perlu sanggup bermain bermati-matian dan tidak menipu peminat dengan aksi separuh hati kerana bimbang mengalami kecederaan dan risiko kehilangan gaji puluhan ribu ringgit.

"Selain itu, diharapkan pemain memiliki disiplin tinggi di dalam dan luar padang, mempunyai inisiatif untuk berlatih sendiri lebih masa selepas sesi latihan tamat dan membentuk hubungan di antara pemain bagaikan soldadu yang akan dihantar operasi ke medan perang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram