Umpama perlawanan final — Maloney


  • Podium
  • Rabu, 16 Feb 2022

PEMAIAN Harimau Muda dinasihat kekal fokus menentang Laos. — Facebook FAM

KETUA jurulatih skuad bola sepak kebangsaan Bawah 23 (B-23), Brad Maloney menggesa anak buahnya agar tidak memandang mudah perlawanan terakhir Kumpulan B Piala AFF B-23 menentang Laos dan sebaliknya menganggap ia sebagai 'aksi final'.

Susulan pengunduran Myanmar dan Indonesia daripada saingan tersebut berikutan Covid-19, Malaysia hanya akan beraksi menentang Laos di Prince Stadium, Phnom Penh, Kemboja pada 18 Februari kelak.

Maloney turut mendedahkan bahawa pasukan Malaysia ada mencadangkan dua perlawanan menentang Laos tetapi pihak lawan menolak, menjadikannya ia pertemuan sulung dalam Kumpulan B.

Malaysia perlu memenangi perlawanan itu untuk mengungguli Kumpulan B dan mara ke peringkat separuh akhir.

"Sangat kecewa melihat Indonesia dan Myanmar menarik diri. Kami datang ke sini untuk bermain bola sepak dan memberikan pendedahan kepada muka baharu.

"Agak mengecewakan kami tidak dapat beraksi banyak perlawanan dalam kejohanan ini.

"Perlawanan menentang Laos umpama aksi final. Orang melihat laluan kami ke peringkat separuh akhir lebih mudah tetapi dalam perlawanan seperti ini, apa sahaja boleh berlaku.

"Jadi para pemain perlu benar-benar fokus apabila berdepan Laos.

"Situasi yang kita lalui sekarang agak luar biasa. Ini adalah kali pertama kami menghadapi situasi seperti ini.

"Para pemain sedikit kecewa kerana mereka lebih suka bermain tetapi kesihatan semua orang perlu diutamakan ketika ini.

"Saya akan bercakap dengan pengarah kejohanan untuk mempertingkatkan lagi langkah keselamatan," katanya menerusi sidang media secara maya.

Harimau Muda sepatutnya memulakan kempen pada Selasa tetapi Myanmar terpaksa menarik diri daripada kejohanan kerana sebahagian besar pemain mereka disahkan positif Covid-19. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Brad Maloney, B-23, Piala AFF, Laos, FAM, Harimau Muda